Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:39

[1] Elihu berkata,

[2] "Dengarlah kata-kataku, wahai kalangan bijak. Perhatikanlah aku, wahai kalangan berpengetahuan,

[3] kerana telinga menguji kata-kata sebagaimana langit-langit mengecap makanan.

[4] Mari kita putuskan bagi kita apa yang adil, mari kita tentukan antara kita apa yang baik.

[5] Ayub berkata, 'Aku benar, tetapi Allah telah mengambil hakku.

[6] Sungguhpun aku mempunyai hak, aku dianggap pembohong. Sungguhpun aku tidak melakukan pelanggaran, lukaku tidak dapat disembuhkan.'

[7] Siapakah manusia seperti Ayub, yang meminum cemuhan seperti air?

[8] Dia bersekutu dengan para pelaku kejahatan, dan bergaul dengan kalangan fasiq.

[9] Katanya, 'Tidak ada gunanya bagi manusia kalau Allah berkenan dengannya.'

[10] Oleh sebab itu dengarlah aku, wahai kalangan berakal, 'Jauhlah daripada Allah untuk berbuat fasiq, jauhlah daripada Yang Maha Kuasa untuk berbuat kezaliman.'

[11] Dia membalas manusia menurut perbuatan mereka, Dia membuat orang mendapat ganjaran menurut kelakuan mereka.

[12] Sungguh, Allah tidak akan berbuat fasiq, Yang Maha Kuasa tidak akan membengkokkan keadilan.

[13] Siapa mempercayakan bumi kepada-Nya? Siapa menanggungkan seluruh dunia kepada-Nya?

[14] Jika Dia menetapkan kehendak-Nya dan menarik kembali roh-Nya serta nafas-Nya,

[15] maka putuslah nyawa semua makhluk bersama-sama, dan manusia kembali menjadi debu.

[16] Jika engkau memiliki pengertian, dengarlah ini, perhatikanlah bunyi perkataanku.

[17] Wajarkah pembenci keadilan memerintah? Wajahkah engkau menyalahkan Dia yang adil dan perkasa,

[18] yang berfirman kepada raja, 'Wahai, orang dursila,' dan kepada para bangsawan, 'Wahai, orang fasiq,'

[19] yang tidak memihak kepada para pembesar dan tidak memandang orang kaya lebih daripada orang miskin, kerana mereka semua buatan tangan-Nya?

[20] Dalam sesaat mereka mati. Pada tengah malam orang digoyangkan lalu lenyap, kalangan perkasa disingkirkan bukan oleh tangan manusia.

[21] Mata-Nya memandang jalan-jalan manusia, dan melihat segala langkahnya.

[22] Tidak ada kegelapan atau bayang-bayang maut, tempat para pelaku kejahatan dapat bersembunyi.

[23] Tidak perlu Allah memeriksa manusia lagi sehingga orang itu harus datang menghadap-Nya di pengadilan.

[24] Dia menghancurkan kalangan perkasa tanpa pemeriksaan, dan mengangkat kalangan lain menggantikan mereka.

[25] Jadi, Dia mengetahui pekerjaan mereka dan menggulingkan mereka pada malam hari sehingga mereka hancur.

[26] Dia menampar mereka kerana kefasiqan mereka di tempat yang terlihat oleh orang lain,

[27] kerana mereka menjauh daripada-Nya dan tidak mahu mengendahkan segala jalan-Nya.

[28] Mereka menyebabkan seruan orang miskin sampai kepada-Nya, dan Dia mendengar seruan orang yang sengsara.

[29] Kalau Dia berdiam-diam sahaja, siapa dapat menyalahkan-Nya? Kalau Dia menyembunyikan wajah-Nya, siapa yang dapat memandang-Nya? Dia berkuasa atas suatu bangsa, dan juga atas diri seseorang,

[30] supaya jangan orang munafik menaiki takhta, supaya jangan rakyat terjerat.

[31] Adakah orang yang berkata kepada Allah, 'Aku telah meninggikan diri, tetapi aku tidak akan lagi berbuat kesalahan.

[32] Kiranya Kauajar aku hal yang tidak kulihat. Jika aku telah berbuat zalim, maka aku tidak akan melakukannya lagi'?

[33] Haruskah Dia melakukan pembalasan menurut kehendakmu, padahal engkau sendiri menolaknya? Engkaulah yang harus memutuskan, bukan aku. Oleh sebab itu katakanlah apa yang kauketahui.

[34] Orang yang berakal akan berkata kepadaku, begitu pula orang bijak yang mendengar aku:

[35] 'Ayub berbicara tanpa pengetahuan. Kata-katanya tidak bijaksana.'

[36] Andai Ayub diuji sampai penghabisan, kerana dia menjawab seperti kalangan jahat!

[37] Dia menambah dosanya dengan pelanggaran, bertepuk tangan dalam kalangan kita sambil bermegah, dan memperbanyak kata-katanya menentang Allah."

Ayub — Chapters