Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:29

[1] "Aku bosan dengan hidupku. Aku hendak melampiaskan keluhanku, aku hendak berbicara dalam kepahitan jiwaku.

[2] Aku hendak berkata kepada Allah, 'Jangan mengecam aku. Beritahulah aku mengapa Engkau berperkara dengan aku.

[3] Adakah baik bagi-Mu bahawa Engkau menindas aku, bahawa Engkau memandang hina karya tangan-Mu, sementara Engkau menerangi rancangan orang fasiq?

[4] Adakah Engkau memiliki mata jasmani? Adakah Engkau melihat sebagaimana manusia melihat?

[5] Adakah hari-hari-Mu seperti hari-hari manusia? Adakah tahun-tahun-Mu seperti tahun-tahun seorang insan,

[6] sehingga Engkau mencari-cari kesalahanku dan mengusut dosaku,

[7] sungguhpun Engkau tahu bahawa aku tidak bersalah dan tidak ada yang dapat melepaskanku daripada tangan-Mu?

[8] Tangan-Mu yang membentuk aku dan menjadikan aku, tetapi Engkau berpaling dan hendak memusnahkan aku.

[9] Ingatlah betapa Engkau yang menjadikan aku daripada tanah liat. Adakah Engkau akan mengembalikan aku menjadi debu?

[10] Bukankah Engkau yang mencurahkan aku seperti air susu, dan membekukan aku seperti keju?

[11] Engkau membungkus aku dengan kulit dan daging, mencantumkan aku dengan tulang dan urat.

[12] Engkau mengurniai aku hidup dan kasih abadi, pemeliharaan-Mu yang menjaga nyawaku.

[13] Namun demikian, hal-hal inilah yang Kausembunyikan dalam hati-Mu, aku tahu bahawa hal ini ada pada-Mu:

[14] Jika aku berbuat dosa, Engkau akan mengawasi aku dan tidak akan membebaskan aku daripada kesalahanku.

[15] Jika aku bersalah, malangnya aku! Jika aku benar, aku tidak dapat mengangkat kepalaku, kerana aku penuh aib dan sedar akan kehinaanku.

[16] Jika aku meninggikan diri, Engkau memburu aku seperti singa dan menunjukkan lagi diri-Mu yang menakjubkan kepadaku.

[17] Engkau mengajukan saksi-saksi baru menentang aku dan memperbesar murka-Mu terhadap aku. Bergantian pasukan yang melawan aku.

[18] Mengapa Engkau mengeluarkan aku daripada rahim? Kalau putus sahaja nyawaku waktu itu sehingga tidak ada mata yang pernah melihatku,

[19] dan aku seakan-akan tidak pernah ada, kerana daripada kandungan langsung dibawa ke kubur.

[20] Bukankah pendek sahaja umurku? Berhentilah, biarkanlah aku, supaya aku dapat tersenyum sejenak,

[21] sebelum aku pergi tanpa dapat kembali, ke negeri kegelapan dan bayang-bayang maut,

[22] negeri kegelapan yang seperti kelam sahaja, negeri bayang-bayang maut yang tidak beraturan, di sana cahaya sekadar serupa dengan kegelapan.' "

Ayub — Chapters