[1] Lalu Ayub menjawab,
[2] "Tidak syak lagi, kamulah kalangan itu dan hikmah akan mati bersama-samamu.
[3] Aku juga berakal seperti kamu, aku tidak kurang daripada kamu. Siapa tidak tahu akan hal-hal semacam itu?
[4] Aku menjadi bahan ketawa para sahabatku; aku, orang yang berseru kepada Allah dan yang dijawab oleh-Nya. Orang yang tulus hati dan tidak bercela menjadi bahan ketawa!
[5] Orang yang hidup selesa menghina nasib malang yang juga tersedia bagi orang yang tergelincir kakinya.
[6] Khemah para penyamun tidak terganggu, dan mereka yang membangkitkan murka Allah hidup tenteram; mereka inilah yang membawa tuhan sendiri dalam tangan.
[7] Tetapi tanyalah kepada haiwan-haiwan, nescaya mereka akan mengajar engkau; kepada burung-burung di udara, nescaya akan mereka memberitahu engkau.
[8] Atau, berkata-katalah dengan bumi, nescaya ia akan mengajar engkau, dan ikan-ikan di laut pun akan mengisytiharkan kepadamu.
[9] Siapakah antara semua itu yang tidak tahu bahawa tangan Tuhan yang melakukan hal ini?
[10] Dalam tangan-Nyalah nyawa semua yang hidup dan nafas seluruh umat manusia.
[11] Bukankah telinga menguji kata-kata seperti langit-langit mulut mengecap makanan?
[12] 'Dikatakan bahawa hikmah terdapat pada kalangan tua, dan pengertian pada kalangan yang lanjut usia.'
[13] Tetapi pada Allah sahaja terdapat hikmah dan keperkasaan, Dialah yang mempunyai pertimbangan dan pengertian.
[14] Jika Dia meruntuhkan, tidak ada yang dapat membina kembali. Jika Dia menangkap seseorang, tidak ada yang dapat melepaskannya.
[15] Jika Dia menahan air, kering kontanglah semuanya. Jika Dia melepaskannya, maka bumi pun ditunggangbalikkannya.
[16] Pada-Nya ada kekuatan dan hikmah, Punya Dialah orang yang tertipu dan yang menipu.
[17] Dia menggiring para penasihat yang ditelanjangi dan para hakim dibodohkan-Nya.
[18] Dia membuka belenggu para raja dan mengikat pinggang mereka dengan pengikat.
[19] Dia menggiring para imam yang ditelanjangi dan menggulingkan orang yang berkuasa.
[20] Dia membungkam orang yang dipercayai dan menghapuskan pertimbangan para tua-tua.
[21] Dia mencurahkan penghinaan atas para bangsawan dan melonggarkan ikat pinggang orang kuat.
[22] Dia menyingkapkan rahsia kegelapan dan membawa bayang-bayang maut kepada cahaya.
[23] Dia membuat bangsa-bangsa menjadi besar, lalu membinasakan mereka, Dia mengembangkan bangsa-bangsa, lalu menggiring mereka.
[24] Dia menghilangkan akal pemimpin bangsa-bangsa di bumi dan membuat mereka mengembara di tanah tandus yang tidak ada jalannya.
[25] Mereka meraba-raba dalam kegelapan yang tidak ada terangnya. Dia membuat mereka terhuyung-huyung seperti orang mabuk."