Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 5:41

[1] "Aku telah mengikat perjanjian dengan mataku, bagaimana mungkin kupandang anak dara dengan berahi?

[2] Apakah bahagianku daripada Allah di atas, atau harta pusakaku daripada Yang Maha Kuasa di tempat yang tinggi?

[3] Bukankah bencana bagi orang yang buruk kelakuannya, dan kemalangan bagi para pelaku kejahatan?

[4] Bukankah Allah melihat jalan-jalanku dan menghitung segala langkahku?

[5] Jika aku telah berjalan bersama dengan dusta, dan kakiku bergegas menuju tipu daya,

[6] biarlah aku ditimbang dengan neraca yang benar supaya Allah mengetahui ketulusan hatiku.

[7] Jika langkahku menyimpang dari jalan dan hatiku menuruti pandangan mataku, atau jika noda melekat pada tanganku,

[8] biarlah aku menabur lalu orang lain memakan hasilnya, dan biarlah hasil ladangku dicabut sampai ke akarnya.

[9] Jika hatiku terpikat kepada perempuan, dan aku menunggu di pintu jiranku,

[10] biarlah isteriku menggiling bagi orang lain dan biarlah orang lain menidurinya,

[11] kerana hal itu perbuatan keji, kesalahan yang patut dihukum oleh hakim.

[12] Itulah api yang menghanguskan sampai ke tempat kebinasaan, itulah yang mencabut seluruh hasilku sampai ke akarnya.

[13] Jika aku memandang hina hak hambaku yang lelaki atau yang perempuan ketika mereka berperkara dengan aku,

[14] apakah yang boleh kulakukan apabila Allah bertindak? Apabila Dia memeriksa aku, apakah jawapanku kepada-Nya?

[15] Bukankah Dia, yang menjadikan aku dalam kandungan, menjadikan orang itu juga? Bukankah Satu juga yang membentuk kami dalam rahim?

[16] Jika aku menolak keinginan fakir miskin, membuat sayu mata seorang balu;

[17] jika aku memakan makananku sendirian dan anak yatim tidak turut memakannya –

[18] malah sejak masa mudaku aku membesarkan dia seperti seorang ayah, sejak dalam kandungan ibuku aku membimbing balu itu;

[19] jika aku melihat orang binasa kerana tidak punya pakaian, atau orang melarat tidak punya selimut,

[20] dan hatinya tidak memohon berkat bagiku, kerana dia dihangatkan oleh bulu dombaku;

[21] jika aku mengacung-acungkan tangan terhadap anak yatim kerana kulihat ada yang menolong aku di pintu gerbang,

[22] maka biarlah bahuku lepas daripada belikatku dan lenganku patah daripada persendiannya,

[23] kerana aku takut kepada bencana daripada Allah dan di hadapan keluhuran-Nya aku tidak sanggup berbuat apa-apa.

[24] Jika aku meletakkan keyakinanku kepada emas atau berkata kepada emas murni, 'Engkaulah kepercayaanku;'

[25] jika aku bersukacita kerana besarnya kekayaanku dan kerana banyaknya perolehan tanganku;

[26] jika aku memandang matahari ketika bersinar atau bulan ketika beredar dengan indahnya

[27] sehingga diam-diam hatiku terpikat dan mulutku mencium tanganku tanda hormat,

[28] maka itu pun kesalahan yang patut dihukum oleh hakim, kerana aku mengingkari Allah yang di atas.

[29] Jika aku bersukacita atas kemalangan orang yang membenci aku atau meninggikan diri ketika malapetaka menimpanya –

[30] aku tidak membiarkan mulutku berdosa, menuntut nyawa orang itu dengan kutukan;

[31] jika kalangan di khemahku tidak berkata, 'Sesiapa yang tidak dikenyangkan oleh lauk-pauknya?' –

[32] tidak pernah pendatang bermalam di jalan, kerana kubuka pintuku bagi kafilah;

[33] jika aku menutupi pelanggaranku seperti yang dilakukan manusia dengan menyembunyikan kesalahanku dalam dadaku,

[34] kerana takut kepada orang ramai dan penghinaan kaum keluarga yang mengejutkan aku sehingga aku berdiam diri dan tidak keluar dari pintuku!

[35] Ah, kalaulah ada yang mendengar aku! Inilah tanda tanganku! Biarlah Yang Maha Kuasa menjawab aku! Kalaulah ada surat tuduhan yang ditulis oleh pendakwaku!

[36] Pastilah aku akan memikulnya di atas bahuku, aku akan mengenakannya seperti mahkota.

[37] Aku akan menyatakan jumlah langkahku kepada-Nya. Aku akan menghampiri Dia selaku seorang bangsawan.

[38] Jika tanahku menjerit menentang aku dan alur-alur bajaknya menangis bersama-sama;

[39] jika aku memakan hasilnya tanpa membayar, atau menyebabkan para pemiliknya kehilangan nyawa,

[40] maka biarlah duri tumbuh ganti gandum, dan lalang ganti barli." Selesailah kata-kata Ayub.

Ayub — Chapters