[1] Kemudian Tuhan menjawab Ayub dari dalam angin puting beliung,
[2] "Siapakah orang ini yang meragukan hikmah-Ku dengan kata-kata yang tidak berilmu?
[3] Bersiaplah engkau sebagai seorang lelaki; Aku hendak bertanya kepadamu, dan engkau harus menjawab Aku.
[4] Di manakah engkau ketika Aku meletakkan asas bumi? Jawablah jika engkau berpengetahuan.
[5] Siapakah yang menentukan ukuran bumi? Tentu engkau tahu! Atau, siapakah yang merentangkan tali pengukur di atasnya?
[6] Di atas apakah asas-asasnya ditanamkan? Atau, siapakah yang meletakkan batu penjurunya
[7] ketika bintang fajar bersorak-sorai bersama-sama dan semua anak Allah bersorak gembira?
[8] Siapakah yang menutup laut dengan pintu ketika laut memancar keluar dari dalam rahim,
[9] ketika Aku menjadikan awan pakaiannya dan kelam pekat kain bedungnya,
[10] ketika Kuputuskan batas baginya dan Kupasang palang serta pintu,
[11] ketika Aku berfirman, 'Sejauh ini engkau boleh pergi tetapi tidak lebih. Di sinilah gelombangmu yang bongkak akan berhenti'?
[12] Seumur hidupmu pernahkah engkau memerintahkan terbitnya pagi, atau memberitahu fajar tempatnya,
[13] supaya ia memegang hujung-hujung bumi dan mengebaskan orang fasiq dari dalamnya?
[14] Bumi berubah seperti tanah liat yang dimateraikan, segala sesuatu menjadi seperti pakaian.
[15] Tetapi cahaya orang fasiq ditahan, dan lengan yang terangkat dipatahkan.
[16] Pernahkah engkau pergi sampai ke mata-mata air di laut, atau menjalani tempat-tempat rahsia samudera?
[17] Pernahkah pintu-pintu gerbang maut diperlihatkan kepadamu? Pernahkah kaulihat pintu-pintu gerbang bayang maut?
[18] Pernahkah kaufahami luasnya bumi? Nyatakanlah kalau engkau tahu akan semua itu.
[19] Di manakah jalan ke tempat kediaman cahaya? Di manakah tempat tinggal kegelapan,
[20] sehingga engkau dapat menghantarnya ke daerahnya dan mengetahui jalan ke rumahnya?
[21] Tentu engkau tahu kerana engkau sudah lahir pada waktu itu dan jumlah harimu sudah banyak!
[22] Pernahkah engkau masuk ke dalam perbendaharaan salji, atau melihat perbendaharaan hujan ais,
[23] yang Kusimpan untuk masa kesesakan, untuk hari pertempuran dan peperangan?
[24] Di manakah jalan tempat kilat dibahagikan, tempat angin timur disebarkan ke atas bumi?
[25] Siapakah yang membuka saluran bagi air bah dan jalan bagi kilat guruh,
[26] untuk menghujani tanah yang tidak ada orangnya, gurun yang tidak ada manusianya,
[27] untuk mengenyangkan padang yang tandus dan sunyi, serta untuk menumbuhkan tunas-tunas rumput muda?
[28] Apakah hujan itu berayah? Atau, siapakah yang menyebabkan titik-titik embun lahir?
[29] Daripada kandungan siapakah keluar ais? Siapakah yang melahirkan embun beku di langit,
[30] ketika air mengeras seperti batu dan permukaan samudera membeku?
[31] Dapatkah engkau mengikat gugusan bintang Kartika, atau melepaskan ikatan bintang Belantik?
[32] Dapatkah engkau mengeluarkan rasi-rasi bintang pada masanya, atau memandu bintang Biduk dengan anak-anaknya?
[33] Tahukah engkau ketetapan-ketetapan langit? Dapatkah engkau menetapkan pemerintahannya di atas bumi?
[34] Dapatkah engkau menyaringkan suaramu sampai ke awan, atau meliputi dirimu dengan air bah?
[35] Dapatkah engkau mengutus petir sehingga mereka pergi sambil berkata kepadamu, 'Inilah kami'?
[36] Siapakah yang menaruh hikmah di dalam batin? Atau, siapakah yang memberikan pengertian kepada fikiran?
[37] Siapakah yang dapat mengira jumlah awan dengan hikmah? Siapakah yang dapat mencurahkan isi kirbat-kirbat langit,
[38] ketika debu jadi keras dan gumpalan-gumpalan tanah berlekatan?
[39] Dapatkah engkau memburu mangsa bagi singa betina, atau mengenyangkan anak singa yang lapar
[40] ketika singa-singa itu meringkuk di sarang, dan menunggu di belukar?
[41] Siapakah yang menyediakan bekal bagi burung gagak ketika anak-anaknya berteriak kepada Allah dan berkeliaran kerana kekurangan makanan?