[1] Maka Bildad, orang Suah, menjawab,
[2] "Berapa lama lagi kamu hendak mencari kata-kata? Sedarilah, sesudah itu baru kami akan berbicara.
[3] Mengapa kami dianggap binatang? Mengapa di matamu kami dianggap bodoh?
[4] Engkau yang mencabik-cabik dirimu sendiri dalam amarah, masakan dunia harus dibengkalaikan demi engkau, atau batu pejal dipindahkan dari tempatnya?
[5] Bagaimanapun juga cahaya orang fasiq akan dipadamkan, nyala apinya tidak akan bercahaya.
[6] Cahaya di dalam khemahnya menjadi gelap, pelita di atasnya dipadamkan.
[7] Langkahnya yang tegap dipersempit, dan rancangannya sendiri menjatuhkan dia.
[8] Kakinya sendiri memasukkan dia ke dalam jaring, dia berjalan di atas jala.
[9] Perangkap menangkap tumitnya, jerat menahan dia.
[10] Tali jebakan untuknya tersembunyi di tanah, ada perangkap baginya di jalan.
[11] Kedahsyatan mengejutkan dia di segala penjuru, mengejarnya pada setiap langkahnya.
[12] Kekuatannya hilang kerana lapar. Bencana bersiap menantikan dia terantuk,
[13] memakan bahagian-bahagian kulitnya. Anak sulung maut memakan anggota tubuhnya.
[14] Dia diseret dari khemahnya yang aman, dia dibawa melangkah menghadap raja kegerunan.
[15] Orang yang tidak ada kena-mengena dengannya diam di khemahnya, belerang dihamburkan ke atas kediamannya.
[16] Di bawah, akar-akarnya mengering, di atas, cabangnya layu.
[17] Ingatan kepadanya lenyap dari bumi, namanya tidak lagi disebut di jalan.
[18] Dia diusir dari cahaya ke dalam gelap, dihalau dari dunia.
[19] Dia tidak ada anak atau cucu-cicit dalam kalangan bangsanya, tidak ada yang terselamat di tempat tinggalnya.
[20] Orang di barat tercengang melihat ajalnya, orang di timur dicengkam kengerian.
[21] Sungguh, demikianlah kediaman orang zalim, begitulah tempat tinggal orang yang tidak mengenal Allah."