[1] Tuhan berfirman kepada Ayub:
[2] "Adakah si penuduh mahu berbantah melawan Yang Maha Kuasa? Biarlah dia yang menegur Allah menjawab!"
[3] Jawab Ayub kepada Tuhan:
[4] "Aku ini hina adanya, apa yang dapat kujawab kepada-Mu? Tanganku kutekapkan ke mulut.
[5] Aku sudah berbicara satu kali, tetapi aku tidak mahu menjawab lagi bahkan dua kali, dan aku tidak mahu menambahi apa-apa lagi."
[6] Tuhan menjawab Ayub dari dalam angin puting beliung,
[7] "Bersiaplah engkau sebagai lelaki. Aku hendak bertanya kepadamu, dan engkau harus menjawab Aku.
[8] Apakah engkau mahu membatalkan pengadilan-Ku? Apakah engkau mahu mempersalah Aku supaya engkau benar?
[9] Apakah engkau berkuasa seperti Allah? Dapatkah suaramu mengguntur seperti suara-Nya?
[10] Hiasilah dirimu dengan keagungan dan keluhuran, kenakanlah kemuliaan dan semarak.
[11] Hamburkanlah amarahmu yang meluap-luap, pandanglah setiap orang yang sombong dan rendahkanlah dia.
[12] Pandanglah setiap orang yang sombong dan tundukkanlah dia, injaklah orang fasiq di tempatnya.
[13] Kuburlah mereka bersama-sama dalam debu, selubungilah muka mereka di tempat yang tersembunyi.
[14] Maka Aku sendiri akan mengakui bahawa tangan kanan kamulah yang menyelamatkan engkau."
[15] "Lihatlah Behemot yang juga kubuat sama seperti engkau. Ia makan rumput seperti lembu.
[16] Lihatlah, kekuatannya ada pada pinggangnya, tenaganya pada urat-urat perutnya.
[17] Dia meregangkan ekornya seperti pokok araz, otot pahanya jalin-menjalin.
[18] Tulang-tulangnya seperti pipa tembaga, rangkanya seperti batang besi.
[19] Ia adalah antara yang pertama daripada pekerjaan Allah. Hanya pembuatnyalah yang dapat mendekat dengan pedang-Nya.
[20] Gunung-gunung menghasilkan makanan baginya, segala binatang liar bermain di sana.
[21] Di bawah pohon teratai ia berbaring, tersembunyi dalam rumpun buluh di rawa-rawa.
[22] Pohon teratai menaunginya dengan bayang-bayangnya, pokok-pokok gandarusa di tepi sungai mengelilinginya.
[23] Sekalipun sungai meluap, dia tidak gentar. Dia tetap tenang sekalipun Sungai Yordan bergelora melanda mulutnya.
[24] Dapatkah orang menangkapnya ketika ia terjaga, atau mencucuk hidungnya dengan pengait?"