[1] Maka Zofar, orang Naama, menjawab,
[2] "Itulah sebabnya kegelisahanku mendorong aku menjawab, kerana kurasakan desakan dari dalam.
[3] Kudengar teguran yang menghina aku, tetapi dari dalam pengertianku suatu roh menjawab aku.
[4] Tidakkah engkau mengetahui hal ini sejak zaman dahulu, sejak manusia ditempatkan di atas bumi,
[5] bahawa sorak-sorai orang fasiq sebentar sahaja dan sukacita orang munafik hanya sesaat?
[6] Sekalipun keangkuhannya menjulang ke langit dan kepalanya sampai menyentuh awan,
[7] dia akan binasa selama-lamanya seperti kotorannya sendiri. Orang yang pernah melihatnya akan bertanya, 'Di manakah dia?'
[8] Dia akan melayang lenyap seperti mimpi dan tidak ditemukan lagi, dia akan dihalau seperti penglihatan pada malam hari.
[9] Mata yang melihatnya tidak akan melihatnya lagi, tempat tinggalnya pun tidak akan memandangnya lagi.
[10] Anak-anaknya harus mencari belas kasihan daripada fakir miskin, tangannya sendiri harus mengembalikan kekayaannya.
[11] Tulang-tulangnya penuh dengan tenaga orang muda, tetapi itu pun akan berbaring bersama-samanya dalam debu.
[12] Sekalipun kejahatan terasa manis di mulutnya, sekalipun dia menyembunyikannya di bawah lidahnya,
[13] sekalipun dia menyayangkannya dan tidak mahu melepaskannya malah menahannya pada langit-langit mulutnya,
[14] makanannya itu akan berubah di dalam perutnya, menjadi bisa ular senduk di dalam dirinya.
[15] Dia menelan kekayaan, tetapi memuntahkannya lagi; Allah akan mengeluarkannya dari dalam perutnya.
[16] Dia akan menghisap bisa ular senduk, dan lidah ular berbisa akan membunuhnya.
[17] Dia tidak akan memandang batang-batang air, sungai-sungai yang mengalirkan madu dan dadih.
[18] Dia akan mengembalikan hasil jerih lelahnya dan tidak akan menelannya, Dia tidak akan menikmati kekayaan hasil dagangnya.
[19] Kerana dia telah menindas dan menterlantarkan fakir miskin, serta merampas rumah yang tidak dibangunkannya;
[20] sesungguhnya, dia tidak mengenal ketenangan dalam batinnya, dan dia tidak akan menyelamatkan barang yang disukainya.
[21] Tidak ada yang selamat daripada sifat lahapnya. Oleh itu, kemakmurannya tidak akan bertahan.
[22] Dalam kemewahannya yang berlimpah dia akan mengalami kesesakan, dan kesukaran akan menimpanya dengan sepenuh kuasa.
[23] Ketika dia mengisi perutnya, Allah melepaskan murka-Nya yang menyala-nyala dan menghujankan murka itu kepadanya sebagai makanannya.
[24] Dia akan melarikan diri daripada senjata besi, tetapi panah gangsa akan menembusnya.
[25] Anak panah dicabut keluar daripada punggungnya, dan mata panah yang berkilat itu keluar daripada hempedunya. Kengerian mendatanginya.
[26] Kegelapan yang pekat tersedia bagi hartanya. Api yang tidak dihembus akan melahapnya dan menghabiskan apa yang terselamat di khemahnya.
[27] Langit akan menyingkapkan kesalahannya, dan bumi akan bangkit melawannya.
[28] Kekayaan rumahnya akan lenyap, dihanyutkan pada hari murka-Nya.
[29] Itulah bahagian daripada Allah untuk orang fasiq, harta pusaka yang ditentukan Allah baginya."