[1] Ayub melanjutkan huraiannya, katanya,
[2] "Kalaulah aku seperti dalam bulan-bulan yang silam, seperti semasa hari-hari Allah melindungiku,
[3] ketika pelita-Nya bersinar di atas kepalaku dan dengan cahaya-Nya aku berjalan dalam kegelapan.
[4] Kalaulah aku seperti pada masa mudaku, ketika persahabatan Allah menaungi khemahku;
[5] ketika Yang Maha Kuasa masih bersama denganku, dan anak-anakku ada di sekelilingku;
[6] ketika langkah-langkahku bermandikan dadih, dan batu pejal mencucurkan aliran minyak bagiku.
[7] Dahulu, ketika aku keluar ke pintu gerbang kota, dan ketika kusediakan kerusiku di alun-alun,
[8] kalangan muda melihatku dan undur diri, sedang kalangan tua bangkit berdiri;
[9] para pembesar berhenti bicara dan menekapkan tangan ke mulut;
[10] suara para penghulu tidak terdengar, lidah mereka melekat ke langit-langit mulut.
[11] Ketika telinga mendengar, aku disebut berbahagia; ketika mata melihat, aku dipuji,
[12] kerana aku menyelamatkan orang miskin yang berteriak minta tolong, dan anak-anak yatim tiada sesiapa yang menolong mereka.
[13] Aku menerima ucapan berkat daripada orang yang nyaris binasa, dan kubuat hati seorang balu bersorak-sorai.
[14] Perbenaran kupakai sebagai pakaianku, keadilan seperti jubah dan serban bagiku.
[15] Aku menjadi mata bagi orang buta dan kaki bagi orang tempang.
[16] Aku menjadi bapa bagi fakir miskin, kuselidiki perkara orang yang tidak kuketahui.
[17] Aku mematahkan geraham orang zalim dan menyentakkan mangsa daripada gigi-giginya.
[18] Fikirku, 'Aku akan mati di sarangku dan memperbanyak hari-hariku seperti pasir.
[19] Akarku menjulur ke air, embun bermalam di cabangku.
[20] Kemuliaanku tetap segar kepadaku, busur panahku diperbaharu di tanganku.
[21] Orang mendengar dan menantikan aku, mereka berdiam diri mendengar nasihatku.
[22] Setelah aku berbicara, mereka tidak berbicara lagi, kata-kataku menetes ke atas mereka.
[23] Mereka menantikan aku seperti menantikan hujan, mereka mengangakan mulut seperti menadah hujan pada akhir musim.
[24] Jika aku tersenyum kepada mereka, mereka tidak dapat mempercayainya dan seri mukaku tidak dapat dimuramkan mereka.
[25] Aku memilih jalan bagi mereka dan duduk sebagai kepala. Aku bersemayam seperti raja di tengah-tengah pasukannya, seperti orang yang menghiburkan kalangan yang berkabung.' "