Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:30

[1] Kemudian Ayub menjawab,

[2] "Bahkan hari ini pun keluhanku getir, tekananku berat, begitu juga keluh-kesahku.

[3] Sekiranya aku tahu di mana aku boleh menemui Dia, sehingga aku boleh datang ke tempat Dia bersemayam!

[4] Aku akan menyusun perkaraku di hadapan-Nya dan memenuhi mulutku dengan pembelaan.

[5] Aku mahu mengetahui jawapan-jawapan yang diberikan-Nya kepadaku, dan memahami apa yang difirmankan-Nya kepadaku.

[6] Sudikah Dia berperkara dengan aku dalam kuasa-Nya yang besar? Tidak, tetapi Dia akan memberikan perhatian kepadaku.

[7] Di sana orang yang lurus hati dapat membela diri di hadapan-Nya, dan aku akan bebas daripada Hakimku untuk selama-lamanya.

[8] Ketika aku berjalan ke depan, Dia tidak ada di situ. Ketika aku berjalan ke belakang, tidak kudapati Dia.

[9] Ketika Dia berkarya di sebelah kiri, aku tidak dapat memandang Dia. Ketika Dia berpaling ke sebelah kanan, aku tidak dapat melihat Dia.

[10] Namun begitu, Dia tahu tentang jalan yang kuambil. Setelah Dia menguji aku, aku akan keluar seperti emas.

[11] Kakiku tetap mengikuti langkah-Nya. Aku tetap menuruti jalan-Nya dan tidak menyimpang.

[12] Aku tidak menjauh daripada perintah-Nya. Aku menyimpan khazanah firman-Nya lebih daripada makananku sehari-harian.

[13] Akan tetapi, Dia tidak berubah. Siapa dapat melawan-Nya? Apa yang dikehendaki-Nya, itulah yang dilakukan-Nya.

[14] Dia menyelesaikan apa yang ditentukan bagiku, dan banyak hal semacam itu ada pada-Nya.

[15] Itulah sebabnya aku tergoncang di hadapan-Nya. Kalau kufikirkan hal itu, aku ketakutan terhadap Dia.

[16] Allah telah membuat hatiku lemah. Yang Maha Kuasa telah membuat aku gementar,

[17] kerana aku tidak dilenyapkan sebelum datangnya kegelapan, dan kekelaman tidak ditutupi-Nya daripada mukaku."

Ayub — Chapters