[1] "Tetapi sekarang aku ditertawakan mereka yang lebih muda daripadaku, yang sepatutnya ayah-ayah mereka kupandang terlalu hina untuk ditempatkan bersama dengan anjing penjaga kawanan dombaku.
[2] Apatah lagi, apa gunanya bagiku kekuatan tangan mereka? Mereka sudah kehabisan tenaga.
[3] Mereka kurus kerana kekurangan dan kelaparan, mereka menggerumit tanah yang gersang di padang yang tandus dan sunyi.
[4] Mereka memetik rumput garam di antara semak dan akar pokok arar menjadi makanan mereka.
[5] Mereka dihalau daripada kalangan manusia, orang meneriaki mereka seperti meneriaki pencuri.
[6] Mereka harus berdiam di alur-alur sungai kering, di lubang-lubang tanah dan ceruk-ceruk batu.
[7] Di tengah-tengah semak-semak mereka menjerit, di bawah belukar mereka berkumpul.
[8] Mereka kalangan anak orang bodoh dan kalangan anak orang yang tidak dikenal, mereka didepak dari negeri.
[9] Sekarang, aku menjadi lagu ejekan mereka, aku menjadi sindiran bagi mereka.
[10] Mereka mengejikan aku, menjauhkan diri daripadaku, dan tidak segan-segan meludahi mukaku.
[11] Kerana Allah telah melepaskan tali busur-Nya dan menindas aku, mereka pun tidak mengekang diri di hadapanku.
[12] Di sebelah kananku gerombolan bangkit. Mereka menolak kakiku, dan membina jalan kemalangan untuk menyerang aku.
[13] Mereka membongkar jalanku, mengambil untung daripada bencanaku, padahal mereka sendiri tidak punya penolong.
[14] Mereka datang seolah-olah melalui lubang tembok yang lebar; di tengah-tengah kehancuran, mereka datang bergulung-gulung.
[15] Kegentaran meliputi diriku, kemuliaanku diburu seperti oleh angin, kesejahteraanku lenyap seperti awan.
[16] Sekarang jiwaku tercurah dalam diriku, hari-hari kesusahan mencengkam aku.
[17] Malam menusuk tulang-tulangku, nyeri yang mengunggis aku tidak juga berhenti.
[18] Pakaianku rosak oleh kuasa yang besar, melekat padaku seperti leher bajuku.
[19] Allah membuang aku ke dalam lumpur, aku sudah seperti debu dan abu.
[20] Aku berteriak minta tolong kepada-Mu tetapi Engkau tidak menjawab. Aku berdiri, tetapi Engkau hanya memandangku.
[21] Engkau berubah jadi bengis terhadap aku, dengan kekuatan tangan-Mu Engkau menganiaya aku.
[22] Engkau mengangkat aku dengan angin, melayangkan aku, dan menghempaskan aku dalam badai.
[23] Aku tahu bahawa Engkau akan membawa aku kepada maut, ke tempat yang ditentukan bagi semua yang hidup.
[24] Sesungguhnya, tidak ada yang menghulurkan tangan kepada orang yang hancur ketika dia berseru minta tolong dalam kemalangannya.
[25] Bukankah aku menangis kerana orang yang mengalami hari sukar? Bukankah hatiku bersedih kerana orang yang melarat?
[26] Tetapi ketika aku mengharapkan yang baik, datanglah yang jahat; ketika aku menantikan cahaya, datanglah kelam.
[27] Batinku bergelora dan tidak mahu diam, hari-hari kesusahan mendatangi aku.
[28] Aku berjalan dengan kulit menghitam, tetapi bukan sinar matahari. Aku berdiri di tengah-tengah jemaah dan berteriak minta tolong.
[29] Aku menjadi saudara bagi serigala dan kawan bagi burung unta.
[30] Kulitku menghitam dan mengelupas, tulang-tulangku terbakar kerana demam.
[31] Bunyi kecapiku menjadi irama perkabungan, dan bunyi serulingku menjadi suara orang menangis."