[1] "Kerana hal itu juga hatiku gentar dan melompat dari tempatnya.
[2] Dengarlah baik-baik gegak gempita suara-Nya, gemuruh yang keluar daripada mulut-Nya;
[3] Dia melepaskannya ke seluruh kolong langit, juga kilat-Nya ke hujung-hujung bumi.
[4] Kemudian ada suara menderu, Dia bergemuruh dengan suara-Nya yang agung. Kilat tidak ditahan-Nya ketika suara-Nya terdengar.
[5] Allah bergemuruh secara ajaib dengan suara-Nya, dilakukan-Nya hal-hal besar yang tidak tercapai oleh pengetahuan kita.
[6] Kepada salji Dia berfirman, 'Jatuhlah ke bumi,' begitu pula kepada hujan rintik-rintik dan hujan lebat, 'Jadilah hujan deras.'
[7] Dia menahan tangan setiap manusia, supaya semua orang mengetahui perbuatan-Nya.
[8] Lalu binatang masuk ke tempat persembunyiannya dan tinggal di dalam sarangnya.
[9] Angin puyuh keluar dari biliknya, dan hawa dingin dari angin yang memecah.
[10] Nafas Allah menjadikan ais, dan perairan yang luas membeku.
[11] Dia pun menepukan awan dengan air, dan awan memencarkan kilat-Nya.
[12] Awan itu beredar ke sana ke mari dengan tuntunan-Nya untuk melakukan apa-apa pun yang diperintahkan-Nya di muka bumi.
[13] Dia mendatangkannya sama ada sebagai tongkat ajaran, sebagai berkat bagi bumi-Nya, ataupun sebagai wujud kasih abadi.
[14] Dengarlah hal ini, wahai Ayub. Diamlah dan perhatikanlah keajaiban-keajaiban Allah.
[15] Tahukah engkau bagaimana Allah menetapkan semuanya dan menyinarkan kilat dari awan-Nya?
[16] Tahukah engkau tentang melayangnya awan, tentang segala keajaiban daripada Dia yang sempurna pengetahuan-Nya?
[17] wahai engkau, yang pakaiannya menjadi panas ketika Dia meneduhkan bumi dengan angin selatan,
[18] dapatkah engkau menyertai Dia membentangkan langit, yang kuat seperti cermin tuangan?
[19] Beritahu kami apa yang harus kami katakan kepada-Nya. Kami tidak dapat menyusun perkataan kerana kegelapan.
[20] Haruskah diberitahu kepada-Nya bahawa aku hendak berbicara? Adakah orang berkata bahawa dia ingin dibinasakan?
[21] Sekarang orang tidak melihat cahaya yang cemerlang di langit, tetapi angin bertiup dan menjernihkannya.
[22] Dari arah utara datang sinar keemasan. Allah berselubung dengan kemegahan yang menggerunkan.
[23] Yang Maha Kuasa tidak dapat kita fahami. Besar kekuatan dan keadilan-Nya. Dalam perbenaran-Nya yang berlimpahan, Dia tidak pernah menindas.
[24] Itulah sebabnya orang takut kepada-Nya, Dia tidak mengendahkan semua orang yang mengaku berhati bijak."