Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:25

[1] "Dapatkah engkau menarik Lewiatan dengan mata kail, atau menahan lidahnya dengan tali?

[2] Dapatkah engkau memasang tali di hidungnya, atau mencucuk rahangnya dengan cangkuk?

[3] Adakah ia akan mengajukan banyak permohonan kepadamu, atau bercakap dengan kata-kata yang lembut kepadamu?

[4] Adakah ia akan mengikat perjanjian denganmu, supaya engkau mengambilnya sebagai hambamu untuk selama-lamanya?

[5] Adakah engkau bermain-main dengannya seperti dengan burung, atau mengikatnya untuk anak-anak perempuanmu?

[6] Dapatkah kelompok nelayan menjualbelikan dia? Dapatkah dia dibahagi-bahagi antara pedagang?

[7] Dapatkah engkau menusuk kulitnya dengan tombak bermata tiga, atau kepalanya dengan lembing penangkap ikan?

[8] Taruhlah tanganmu padanya, dan ingatlah perlawanannya. Engkau tidak akan melakukannya lagi!

[9] Sesungguhnya, harapan untuk menangkapnya hampa belaka. Bukankah melihat rupanya sahaja orang sudah jatuh pengsan?

[10] Tiada orang yang cukup bengis yang berani membangunkan dia. Kalau begitu, siapakah yang dapat bertahan di hadapan-Ku?

[11] Siapakah lebih dahulu memberi-Ku sehingga Aku harus membalasnya? Segala sesuatu di seluruh kolong langit ialah milik-Ku.

[12] Aku tidak mahu berdiam diri mengenai anggota-anggota tubuhnya, mengenai tenaganya dan bentuknya yang elok.

[13] Siapakah yang dapat melucuti pakaian luarnya? Siapakah yang dapat masuk ke dalam kekangnya?

[14] Siapakah yang dapat membuka pintu moncongnya? Di sekeliling giginya ada kengerian.

[15] Dia menyombongkan sisiknya yang kuat, yang tertutup rapat seperti dimateraikan.

[16] Sisiknya berdekatan satu sama lain, sehingga udara tidak dapat masuk di antaranya;

[17] berlekatan satu sama lain, bertautan dan tidak terpisah.

[18] Bersinnya menyemburkan cahaya, matanya seperti fajar merekah.

[19] Daripada mulutnya keluar obor, bunga api berpercikan.

[20] Dari lubang hidungnya keluar asap seperti periuk mendidih oleh kumbuh yang terbakar.

[21] Nafasnya menyalakan bara, nyala api keluar daripada mulutnya.

[22] Di tengkuknya tersimpan kekuatan, ketakutan berlompatan di hadapannya.

[23] Daging gelambirnya berlekatan, mengeras pada tubuhnya dan tidak dapat digerakkan.

[24] Hatinya keras seperti batu, keras seperti batu kilangan bawah.

[25] Ketika ia bangkit, kalangan kuat pun takut, oleh libasannya mereka menghilang.

[26] Dia tidak mempan disergap dengan pedang, begitu pula dengan tombak, anak panah, atau lembing.

[27] Besi dianggapnya jerami, tembaga dianggapnya kayu busuk.

[28] Anak panah tidak dapat membuatnya lari, batu tarbil berubah jadi tunggul jerami baginya.

[29] Gada dianggapnya tunggul jerami, ia tertawa mendengar desingan lembing.

[30] Bahagian bawahnya seperti tembikar yang tajam, di atas lumpur ia membujur seperti deretan pengirik.

[31] Dibuatnya air yang dalam menggelegak seperti periuk. Dibuatnya laut seperti kuali rempah-rempah.

[32] Ditinggalkannya jalur yang bersinar di belakangnya, sehingga orang menyangka samudera beruban.

[33] Tidak ada tandingannya di atas bumi! Dialah makhluk yang dibuat tanpa rasa takut.

[34] Dipandangnya semua yang tinggi; ia raja atas semua makhluk yang bongkak."

Ayub — Chapters