Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:04

[1] Lalu Elihu berkata,

[2] "Inikah yang kauanggap adil sehingga engkau berkata, 'Aku lebih benar daripada Allah'

[3] Engkau bertanya, 'Apakah gunanya bagiku? Apakah faedahnya bagiku kalau aku tidak berdosa?'

[4] Aku akan memberikan jawapan kepadamu dan kepada sahabat-sahabatmu yang ada bersamamu.

[5] Pandanglah langit dan lihatlah, perhatikanlah awan-awan yang lebih tinggi daripada engkau.

[6] Jika engkau berdosa, apakah yang kaulakukan terhadap Dia? Jika pelanggaranmu banyak, apakah yang kaubuat terhadap Dia?

[7] Jika engkau benar, apakah yang kauberikan kepada-Nya? Atau, apakah yang Dia terima daripada tanganmu?

[8] Kefasiqanmu hanya mempengaruhi orang lain yang seperti engkau, Perbenaranmu hanya mempengaruhi anak-anak manusia.

[9] Orang menjerit kerana banyaknya penindasan, mereka berteriak minta tolong daripada tekanan kekuatan para penguasa.

[10] Tetapi tidak ada yang bertanya, 'Di manakah Allah, Penciptaku, yang memberikan nyanyian sukacita pada malam hari,

[11] yang mengajar kami lebih daripada binatang-binatang di bumi dan menjadikan kami lebih bijak daripada burung-burung di udara?'

[12] Di sana mereka berseru-seru, tetapi Dia tidak menjawab kerana kecongkakan kalangan jahat.

[13] Sungguh, teriakan kosong tidak didengar Allah, Yang Maha Kuasa tidak menghiraukannya.

[14] Apa lagi ketika engkau berkata bahawa engkau tidak melihat-Nya, bahawa perkaramu sudah ada di hadapan-Nya, tetapi engkau masih menanti-nantikan Dia.

[15] Tetapi sekarang, kerana murka-Nya belum menghukum dan Dia tidak terlalu mempedulikan pelanggaran,

[16] maka Ayub membuka mulutnya dengan sia-sia, dia menimbunkan perkataan tanpa pengetahuan."

Ayub — Chapters