Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:59

[1] Tetapi Ayub menjawab,

[2] "Berapa lama lagi kamu hendak menyeksa jiwaku dan menghancurkan aku dengan perkataan?

[3] Sekarang sudah sepuluh kali kamu menghina aku. Kamu tidak malu bertindak keliru terhadap aku.

[4] Kalau aku sungguh berbuat salah, kesalahanku itu tetap tinggal padaku.

[5] Jika kamu sungguh hendak membesarkan diri terhadap aku dan menggunakan celaku sebagai bukti terhadap aku,

[6] ketahuilah sekarang bahawa Allah telah membengkokkan perkaraku dan melingkupi aku dengan jaring-Nya.

[7] Sesungguhnya, aku berseru, 'Kekerasan!' tetapi aku tidak dijawab. Aku berteriak minta tolong tetapi tidak ada keadilan.

[8] Dia memagari jalanku sehingga aku tidak dapat berlalu, dan mendatangkan kegelapan di lorong-lorongku.

[9] Dia melucuti kemuliaanku dan menyingkirkan mahkota daripada kepalaku.

[10] Dia membongkar aku di segala penjuru sehingga aku lenyap, dan mencabut pengharapanku seperti pokok.

[11] Murka-Nya menyala terhadap aku, Dia menganggap aku lawan-Nya.

[12] Pasukan-Nya maju serentak. Mereka merintangi jalan untuk menyerang aku dan berkepung di sekeliling khemahku.

[13] Dia menjauhkan saudara-saudaraku daripadaku, kenalan-kenalanku seperti orang asing sahaja bagiku.

[14] Para kerabatku meninggalkan aku, kawan-kawanku melupakan aku.

[15] Orang yang tinggal sebagai pendatang di rumahku, juga hamba-hambaku yang perempuan, menganggap aku orang asing. Aku menjadi orang luar di mata mereka.

[16] Aku memanggil hambaku tetapi dia tidak menjawab, sekalipun aku memohon-mohon kepadanya dengan mulutku sendiri.

[17] Nafasku memualkan bagi isteriku, memuakkan bagi para saudara kandungku.

[18] Bahkan anak-anak pun menghina aku, ketika aku muncul, mereka mengata-ngatai aku.

[19] Semua teman karibku mengeji aku, orang yang kukasihi berbalik melawan aku.

[20] Tulangku melekat pada kulit dan dagingku, gusiku sahaja yang terselamat.

[21] Kasihanilah aku! Kasihanilah aku, wahai kamu, sahabat-sahabatku, kerana tangan Allah telah mengazab aku.

[22] Mengapa kamu, seperti Allah, memburu aku dan tidak kenyang dengan dagingku?

[23] Kalaulah kata-kataku ditulis! Kalaulah semuanya dicantumkan dalam kitab,

[24] dipahatkan dengan pena besi dan timah pada batu pejal untuk selama-lamanya!

[25] Namun demikian, aku tahu bahawa Penebusku hidup, dan pada akhirnya Dia akan berdiri di atas bumi.

[26] Setelah kulitku dibinasakan sedemikian rupa, tanpa tubuhku juga aku akan melihat Allah.

[27] Akan kulihat Dia memihak kepada aku. Mataku akan memandang Dia, bukan yang lain. Batinku merindu di dalam dadaku.

[28] Apabila kamu berkata, 'Bagaimana kami dapat memburu dia?' kerana akar permasalahan ini ada pada diriku,

[29] maka takutlah kepada pedang, kerana kegusaran mendatangkan hukuman pedang, supaya kamu tahu bahawa ada pengadilan."

Ayub — Chapters