Skip to content
Opens in a new window

[1] Bangkitlah, dan bersinarlah, hai Yerusalem, kerana cahaya penyelamatanmu sudah datang; TUHAN menyinari engkau dengan kemuliaan-Nya.

[2] Bangsa-bangsa lain akan diliputi kegelapan, tetapi cahaya TUHAN akan bersinar atasmu; cahaya hadirat-Nya akan menerangimu.

[3] Bangsa-bangsa lain datang kepada cahayamu, dan raja-raja tertarik kepada cahaya yang terbit bagimu.

[4] Lihatlah hal yang sedang berlaku di sekelilingmu. Rakyatmu berkumpul untuk pulang kepadamu. Anak lelakimu pulang dari negeri jauh, dan anak perempuanmu didukung.

[5] Engkau akan melihat hal itu lalu wajahmu berseri-seri, engkau akan terharu dan berbesar hati. Harta bangsa-bangsa akan dibawa kepadamu; kekayaan dari seberang laut akan mengalir kepadamu.

[6] Kafilah-kafilah akan datang dari Midian dan Efa. Mereka datang dari Syeba dengan membawa emas dan kemenyan. Mereka memberitakan hal baik yang telah dilakukan TUHAN!

[7] Kawanan domba dari Kedar dan domba jantan dari Nebayot akan dibawa kepadamu sebagai korban, dan dipersembahkan di atas mazbah untuk menyenangkan hati TUHAN. TUHAN akan menjadikan Rumah-Nya lebih mulia lagi.

[8] Apakah yang melayang seperti awan, seperti burung merpati yang sedang terbang pulang?

[9] Itulah kapal-kapal yang membawa pulang umat Allah dari negeri-negeri yang jauh. Perak dan emas dibawa oleh mereka untuk memuliakan nama TUHAN, Allah kamu, Allah Israel, Allah yang suci yang menyebabkan bangsa-bangsa menghormati umat-Nya.

[10] TUHAN berfirman kepada Yerusalem, “Orang bangsa asing akan membina semula tembokmu, dan raja-raja mereka akan melayani engkau. Kerana kemurkaan-Ku, Aku telah menghukum engkau, tetapi sekarang Aku berkenan untuk mengasihani engkau.

[11] Siang malam pintu-pintu gerbangmu akan terbuka, supaya raja-raja bangsa asing yang telah ditawan dapat membawa kekayaan kepadamu.

[12] Tetapi bangsa-bangsa yang tidak mengabdi kepadamu akan dimusnahkan sama sekali.

[13] Kayu sipres, kayu juniper, dan kayu pain, kayu yang terbaik dari hutan Lebanon, akan dibawa untuk membinamu, hai Yerusalem, untuk memperindah Rumah-Ku dan memuliakan kota-Ku.

[14] Anak-anak penindasmu akan datang bersujud untuk menghormati engkau. Semua orang yang pernah menghina engkau akan bersujud pada kaki-Mu. Mereka akan menyebut engkau ‘Kota TUHAN’, ‘Sion, Kota Allah Israel, Allah yang suci’.

[15] Engkau tidak akan ditinggalkan dan tidak dibenci lagi, dan tidak dibiarkan sebagai kota yang terlantar dan sunyi. Aku akan menjadikan engkau agung dan indah, tempat kegembiraan selama-lamanya.

[16] Bangsa-bangsa dan raja-raja akan memelihara engkau, seperti seorang ibu memelihara anaknya. Engkau akan tahu bahawa Aku, TUHAN, Penyelamatmu, dan bahawa Allah Israel, Allah Yang Maha Kuasa, Penebusmu.

[17] Aku akan membawakan engkau emas sebagai ganti gangsa, perak sebagai ganti besi, gangsa sebagai ganti kayu, dan besi sebagai ganti batu. Penguasa-penguasamu tidak akan menindas engkau lagi; Aku akan menyebabkan mereka memerintah dengan adil dan aman.

[18] Keganasan tidak akan terdengar lagi; negerimu tidak akan mengalami kemusnahan lagi. Seperti tembok, Aku akan melindungi dan membela engkau; engkau akan memuji Aku kerana Aku Penyelamatmu.

[19] Matahari tidak lagi menjadi penerangmu pada siang hari, bulan tidak lagi menjadi penerangmu pada malam hari; Aku, TUHAN, akan menjadi penerang abadi bagimu; Aku akan menyinari engkau dengan kemuliaan-Ku.

[20] Masa kedukaanmu akan berakhir. Aku, TUHAN, akan menjadi penerang abadi bagimu, lebih kekal daripada matahari dan bulan.

[21] Pendudukmu akan melakukan hal yang benar, dan akan memiliki negeri ini selama-lamanya. Mereka seperti tumbuhan yang Aku tanam, hasil ciptaan-Ku, untuk menyatakan kebesaran-Ku.

[22] Bahkan keluargamu yang terkecil dan terhina akan menjadi bangsa yang kuat. Pada masa yang tepat kelak, Aku, TUHAN, akan melakukannya dengan segera.”

Yesaya — Chapters