Skip to content
Opens in a new window

[1] Dengarlah hal ini, hai umat Israel, keturunan Yehuda, kamu bersumpah dengan nama TUHAN dan mengaku menyembah Allah Israel, tetapi kata-kata kamu itu tidak ikhlas.

[2] Namun kamu mengaku dengan bangga bahawa kamu warga kota yang suci, dan bahawa kamu bergantung kepada Allah Israel, yang disebut TUHAN Yang Maha Kuasa.

[3] TUHAN berfirman kepada Israel, “Sejak dahulu Aku telah berfirman tentang hal yang akan berlaku, lalu dengan tiba-tiba Aku melaksanakannya.

[4] Aku tahu bahawa kamu keras kepala, keras hati dan berkepala batu.

[5] Oleh itu sejak dahulu Aku berfirman tentang masa depan kamu, Aku mengisytiharkan hal-hal yang belum berlaku; supaya kamu tidak dapat berkata bahawa hal itu perbuatan patung berhala kamu.

[6] Segala nubuat-Ku telah berlaku sekarang, kamu harus mengaku bahawa nubuat-Ku itu benar. Sekarang Aku bernubuat pula tentang hal-hal yang baru, rahsia-rahsia yang belum kamu ketahui.

[7] Baru sekarang Aku melakukannya, belum pernah kamu mendengar hal itu, supaya kamu tidak dapat berkata bahawa kamu sudah mengetahui segala-galanya.

[8] Aku tahu bahawa kamu tidak boleh dipercayai, kamu dikenal sebagai penderhaka. Itulah sebabnya kamu tidak mengetahuinya, dan tidak sepatah kata pun sampai ke telinga kamu.

[9] Aku menahan kemurkaan-Ku, supaya orang memuji nama-Ku. Aku menahan kemarahan-Ku, supaya kamu tidak dibinasakan.

[10] Aku telah menguji kamu dengan api kesengsaraan, seperti perak diuji di dalam relau.

[11] Perbuatan-Ku ini bagi kepentingan-Ku sendiri, Aku tidak akan membiarkan nama-Ku dicemar, atau membahagi kemuliaan-Ku dengan sesiapa pun.”

[12] TUHAN berfirman, “Dengarlah, hai Israel, umat yang telah Kupanggil. Akulah Allah, satu-satunya Allah, yang pertama dan yang terakhir!

[13] Tangan-Ku meletakkan asas bumi, dan membentangkan langit. Apabila Aku memerintah langit dan bumi menghadap, kedua-duanya datang dengan segera.

[14] Berhimpunlah dan dengarlah, kamu semua! Tidak satu dewa pun dapat meramalkan bahawa orang yang Aku pilih itu akan menyerang Babel; dia akan menjalankan perintah-Ku.

[15] Akulah yang telah berfirman serta memanggil dia; Aku memimpin dia dan memberi dia kejayaan.

[16] Dekatilah Aku, dan dengarlah firman-Ku. Sejak permulaan Aku telah berfirman dengan terus terang, dan sentiasa menjadikan firman-Ku kenyataan.” Sekarang TUHAN Raja mengutus aku dan memberi aku kuasa-Nya.

[17] Firman Allah Israel, Allah yang suci, TUHAN Penyelamat kamu, “Akulah TUHAN, Allah kamu, Aku mengajar kamu apa yang baik bagi kamu, Aku memimpin kamu di jalan yang harus kamu tempuh.

[18] Sekiranya kamu memperhatikan hukum-Ku, tentu kamu menerima berkat yang tidak putus-putus seperti sungai yang tidak pernah kering. Kamu akan terus-menerus berjaya seperti ombak laut yang tidak berhenti.

[19] Keturunan kamu akan menjadi sebanyak butir pasir dan Aku akan memastikan supaya mereka tidak binasa.”

[20] Keluarlah dan larilah dari Babel! Isytiharkanlah berita itu dengan sorak gembira. Siarkan berita itu ke mana-mana, “TUHAN telah menyelamatkan Israel, hamba-Nya!”

[21] Ketika TUHAN memimpin umat-Nya melalui padang gurun, mereka tidak kehausan. Dia mengeluarkan air dari bukit batu untuk mereka; Dia membelah bukit batu, lalu air pun memancut.

[22] “Orang yang berdosa tidak akan selamat,” demikianlah firman TUHAN.

Yesaya — Chapters