[1] TUHAN berfirman, “Hai Babel, turunlah dari takhtamu, dan duduklah di atas debu. Dahulu kamu seperti anak dara, kota yang tidak dijajah, tetapi sekarang kamu tidak lagi menarik ataupun manis!
[2] Gilinglah tepung dengan batu kisaran; tanggalkanlah kain tudungmu, angkatlah kainmu sampai nampak betismu dan seberangilah sungai-sungai!
[3] Orang akan nampak kamu bertelanjang, dihina serta dipermalukan. Aku akan membalas dendam, dan tidak seorang pun Aku biarkan terlepas.”
[4] Allah Israel, Allah yang suci, membebaskan kita, nama-Nya TUHAN Yang Maha Kuasa.
[5] TUHAN berfirman kepada Babel, “Diamlah! Duduklah dalam kegelapan! Kamu tidak lagi disebut ratu bangsa-bangsa!
[6] Aku murka terhadap umat-Ku, Aku tidak menganggap mereka sebagai umat-Ku: Aku menyerahkan mereka ke bawah kuasamu, dan kamu tidak menunjukkan belas kasihan terhadap mereka; bahkan orang tua-tua pun kamu perlakukan dengan kasar.
[7] Kamu berfikir bahawa kamu akan menjadi ratu selama-lamanya, kamu tidak cuba mengerti, ataupun memikirkan kesudahan semuanya.
[8] Dengarlah, hai pencinta kesenangan, kamu menyangka bahawa kamu aman dan selamat, dan tiada sesiapa yang seperti kamu. Kamu menyangka kamu tidak akan menjadi balu, ataupun kehilangan anak-anakmu.
[9] Tetapi dalam sesaat sahaja, dalam satu hari, kedua-dua hal itu akan berlaku. Sekalipun kamu menggunakan segala kuasa sihirmu, kamu akan kehilangan suami serta anak-anakmu.
[10] Kamu berasa aman dalam kejahatanmu; kamu menyangka tidak seorang pun mengetahuinya. Kebijaksanaan dan pengetahuanmu telah menyesatkan kamu. Kamu menyangka bahawa tiada sesiapa yang seperti kamu.
[11] Tetapi malapetaka akan menimpa kamu, ilmu sihirmu tidak akan dapat mencegahnya. Kebinasaan akan datang dengan tiba-tiba, kebinasaan yang tidak kamu sangka.
[12] Teruslah menggunakan segala sihirmu, yang telah kamu gunakan sejak masa mudamu. Mungkin jampi-jampahmu dapat menolong kamu, dan menakut-nakutkan musuhmu.
[13] Kamu tidak lagi berkuasa sekalipun dengan banyak nasihat yang kamu terima. Biarlah para ahli nujummu tampil untuk menyelamatkan kamu; mereka mempelajari bintang-bintang, meneliti penjuru-penjuru langit, dan pada tiap-tiap bulan, meramalkan apa yang akan berlaku kepadamu.
[14] Mereka seperti jerami yang habis dibakar api; mereka tidak dapat menyelamatkan diri sendiri! Nyala api itu terlalu panas bagi mereka, bukan api hangat untuk berdiang.
[15] Itulah sahaja gunanya ahli nujum bagimu; kamu minta nasihat daripada mereka sejak masa mudamu. Mereka semua akan lari dan meninggalkan kamu, tiada sesiapa pun yang tinggal untuk menyelamatkan kamu.”