[1] Masanya akan tiba apabila orang menyanyikan lagu ini di tanah Yehuda: Kota kita kuat! Allah yang membela temboknya!
[2] Bukalah pintu-pintu gerbang kota, supaya masuk bangsa-bangsa yang setia, yang rakyatnya melakukan kehendak Allah.
[3] Engkau, TUHAN, memberikan kedamaian dan kesejahteraan kepada orang yang teguh hati, kerana mereka percaya kepada-Mu.
[4] Percayalah kepada TUHAN selama-lamanya; Dia akan sentiasa melindungi kita.
[5] Dia telah merendahkan orang yang sombong; Dia memusnahkan kota kukuh yang didiami mereka, dan meruntuhkan temboknya sehingga rata dengan tanah.
[6] Orang yang miskin dan sengsara akan memijak-mijaknya.
[7] Jalan yang ditempuh orang baik itu lurus, kerana Engkau, TUHAN, meluruskannya bagi mereka.
[8] Kami menurut kehendak-Mu dan berharap kepada-Mu; hanya Engkau yang kami rindui.
[9] Jiwaku merindukan Engkau pada waktu malam; aku mencari Engkau dengan segenap hati. Apabila Engkau menghakimi bumi kelak, penduduknya akan mengetahui makna keadilan.
[10] Walaupun orang jahat diperlakukan dengan baik, namun mereka tidak juga berbuat yang adil. Bahkan di negeri umat yang jujur, mereka tetap berlaku curang, dan tidak mengakui keagungan-Mu.
[11] Musuh-Mu tidak tahu bahawa Engkau akan menghukum mereka. Ya TUHAN, permalukanlah mereka, dan biarlah mereka menderita. Biarlah mereka menanggung hukuman yang Engkau sediakan bagi mereka. Biarlah mereka melihat betapa besarnya kasih-Mu bagi umat-Mu.
[12] Ya TUHAN, Engkau akan menjadikan kami makmur; segala yang kami capai itu adalah hasil perbuatan-Mu bagi kami.
[13] Ya TUHAN, Allah kami, kami pernah dikuasai orang lain, tetapi hanya Engkaulah TUHAN kami.
[14] Kini mereka sudah mati dan tidak akan hidup lagi; arwah mereka pun tidak akan bangkit kembali, kerana Engkau telah menghukum dan membinasakan mereka. Mereka tidak diingat lagi oleh sesiapa.
[15] Ya TUHAN, Engkau telah menambahkan jumlah bangsa kami, dan meluaskan kawasan wilayah kami, kerana itu Engkau dipermuliakan.
[16] Ya TUHAN, Engkau menghukum umat-Mu, dan dalam kesengsaraan, mereka berseru kepada-Mu.
[17] Ya TUHAN, Engkau menyebabkan kami berteriak kesakitan seperti perempuan yang hendak bersalin.
[18] Kami mengandung, dan kami menggeliat kesakitan, tetapi kami tidak melahirkan apa-apa. Kami tidak mendapat kemenangan bagi dunia; kami juga tidak menambah penduduknya.
[19] Umat-Mu yang sudah mati akan hidup semula! Mayat mereka akan bangkit semula. Semua yang sudah dimasukkan ke dalam kubur, akan bangun dan bernyanyi dengan sukacita. Seperti embun yang berkilau-kilau menyegarkan bumi, demikian juga TUHAN akan menghidupkan mereka yang sudah lama mati.
[20] Masuklah ke dalam rumah kamu, hai bangsaku, dan tutuplah pintu. Bersembunyilah seketika, sehingga kemurkaan Allah sudah reda.
[21] TUHAN akan datang dari tempat kediaman-Nya di syurga untuk menghukum manusia di bumi kerana dosa mereka. Pembunuhan yang dilakukan secara rahsia di bumi akan terbongkar, dan kubur pun tidak lagi menyembunyikan mereka yang telah dibunuh.