Skip to content
Opens in a new window

[1] Inilah perkhabaran TUHAN tentang Tirus. Merataplah, hai pelaut-pelaut Sepanyol di laut! Kota kamu di Tirus sudah dimusnahkan. Rumah dan pelabuhan kamu sudah menjadi reruntuhan. Kamu mendengarnya ketika kamu bertolak dari Siprus.

[2] Menangislah, hai saudagar-saudagar dari Sidon! Kamu yang menyuruh orang

[3] ke seberang laut untuk berjual-beli gandum dari Mesir dan untuk berdagang dengan semua bangsa.

[4] Kota Sidon telah dipermalukan! Laut serta samudera raya enggan mengakui engkau, dan berkata, “Aku tidak mempunyai anak. Aku tidak pernah membesarkan anak lelaki atau anak perempuan.”

[5] Bahkan orang Mesir pun akan terperanjat dan tawar hati apabila mendengar bahawa Tirus sudah dimusnahkan.

[6] Merataplah dan larilah ke Sepanyol, hai penduduk kawasan pantai!

[7] Inikah kota Tirus yang sentiasa bersukacita, yang dibina sejak zaman dahulu kala? Inikah kota yang mengutus orang ke seberang laut untuk merantau dan menetap di sana?

[8] Siapakah yang merancangkan segala hal ini bagi Tirus, kota yang besar itu? Bukankah saudagar-saudagarnya kaum bangsawan yang paling dihormati di bumi?

[9] TUHAN Yang Maha Kuasa telah merancangkannya, supaya Dia dapat mengakhiri kesombongan mereka yang sentiasa membangga-banggakan perbuatan mereka, serta menghina orang yang terhormat.

[10] Pergilah bercucuk tanam, hai penduduk Sepanyol! Tiada sesiapa pun yang akan melindungi kamu lagi.

[11] TUHAN telah merentangkan tangan-Nya ke atas lautan dan menggulingkan kerajaan-kerajaan. Dia telah memerintah supaya pusat-pusat perdagangan di Funisia dimusnahkan.

[12] Hai kota Sidon, kegembiraanmu sudah berakhir. Sekarang rakyatmu ditindas. Walaupun mereka lari ke negeri Siprus, mereka masih tidak selamat. (

[13] Bukan orang Asyur, melainkan orang Babilonia yang membiarkan binatang-binatang liar berkeliaran di Tirus. Orang Babilonia yang membina menara-menara untuk mengepung musuh; merekalah yang merobohkan kubu-kubu di Tirus, serta menjadikan kota itu reruntuhan.)

[14] Merataplah, hai pelaut-pelaut yang belayar di laut! Kota yang kamu harapkan itu sudah musnah.

[15] Masanya akan tiba apabila Tirus dilupakan selama tujuh puluh tahun, iaitu sepanjang usia seorang raja. Selepas itu, Tirus akan menjadi seperti seorang pelacur yang digambarkan oleh lagu berikut:

[16] Bawalah kecapimu, kelilingilah kota, hai pelacur yang telah dilupakan orang! Petiklah kecapimu, bernyanyilah semula, supaya orang ingat akan kamu lagi!

[17] Selepas tujuh puluh tahun itu, TUHAN akan membenarkan Tirus meneruskan perdagangannya dengan kerajaan-kerajaan di bumi ini semula.

[18] Segala hasil perdagangan itu akan ditahbiskan untuk TUHAN. Wang daripada perdagangan itu tidak akan disimpan tetapi digunakan untuk membeli makanan dan pakaian yang diperlukan oleh orang yang menyembah TUHAN.

Yesaya — Chapters