[1] Inilah perkhabaran Allah tentang Babel yang diterima oleh Yesaya anak Amos.
[2] Kibarkanlah panji perang di atas bukit yang gondol! Berserulah kepada para askar. Angkatlah lenganmu sebagai tanda bagi mereka untuk menyerang pintu-pintu gerbang kota yang sombong itu.
[3] TUHAN telah memanggil askar-askar pilihan-Nya. Mereka perkasa, percaya diri, dan dibanggakan-Nya. Dia menugaskan mereka untuk menghukum orang yang kena kemurkaan-Nya.
[4] Dengarlah keriuhan di atas gunung, seperti banyak orang yang berkumpul. Dengarlah kegemparan bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan yang sedang berhimpun. TUHAN Yang Maha Kuasa sedang mengatur pasukan perang.
[5] Mereka datang dari negeri-negeri jauh, di hujung bumi. Kerana kemurkaan-Nya, TUHAN akan datang untuk memusnahkan seluruh bumi.
[6] Merataplah kerana hari TUHAN sudah dekat, masa TUHAN Yang Maha Kuasa mendatangkan kebinasaan.
[7] Tangan setiap orang akan menjadi lemah, dan semangat setiap orang akan hilang.
[8] Mereka akan ketakutan dan kesakitan seperti perempuan yang sedang bersalin. Mereka akan saling memandang dengan cemas, dan muka mereka merah kerana malu.
[9] Hari TUHAN itu akan tiba, dan pada hari itu TUHAN akan melampiaskan kemurkaan-Nya yang dahsyat. Bumi akan menjadi tandus, dan setiap orang yang berdosa akan dibinasakan.
[10] Setiap bintang dan gugusan bintang akan berhenti bersinar. Matahari akan menjadi gelap pada waktu fajar, dan bulan tidak akan bersinar.
[11] TUHAN berfirman, “Aku akan menghukum dunia kerana kejahatannya, dan semua orang kerana dosa mereka. Aku akan merendahkan setiap orang yang sombong, dan menghukum setiap orang yang tinggi hati serta kejam.
[12] Orang yang terselamat daripada bencana itu kecil sekali bilangannya, lebih sedikit daripada emas tulen.
[13] Aku akan menyebabkan langit gementar, dan bumi bergoncang dari tempatnya pada hari itu, apabila Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa menunjukkan kemurkaan-Ku.
[14] Orang bangsa asing yang tinggal di Babel akan lari ke negeri masing-masing. Mereka tercerai-cerai seperti rusa yang melarikan diri daripada pemburu, atau seperti kawanan domba yang tidak mempunyai gembala.
[15] Sesiapa yang tertangkap akan ditikam sampai mati.
[16] Mereka akan menyaksikan bayi mereka dipukul sampai mati, rumah mereka dijarah, dan isteri mereka diperkosa.”
[17] TUHAN berfirman, “Aku akan menggerakkan orang Madai supaya menyerang Babel. Mereka tidak mempedulikan perak, dan tidak tergoda oleh emas.
[18] Dengan busur dan panah, mereka akan membunuh orang muda. Mereka tidak menunjukkan belas kasihan kepada bayi ataupun kanak-kanak.
[19] Antara semua kerajaan, Babilonia adalah yang paling indah dan menjadi kebanggaan rakyatnya. Tetapi Aku, TUHAN, akan memusnahkan kota Babel sebagaimana Aku memusnahkan Sodom dan Gomora!
[20] Tiada sesiapa akan tinggal di situ lagi. Tiada pengembara Arab akan memasang khemahnya di situ, dan tiada gembala akan membawa domba untuk merumput di situ.
[21] Tempat itu akan didiami binatang liar dan burung hantu. Burung unta akan tinggal di situ, dan kambing hutan akan berkeliaran di seluruh runtuhan itu.
[22] Menara-menara dan istana-istana akan bergema dengan suara anjing hutan dan serigala. Saat kehancuran Babel hampir tiba, dan waktunya tidak ditunda lagi.”