Skip to content
Opens in a new window

[1] Pada suatu hari kelak seorang raja akan memerintah dengan adil, dan pemimpin-pemimpin bangsa akan menjalankan keadilan.

[2] Mereka seperti tempat perlindungan daripada angin dan ribut. Mereka seperti sungai-sungai yang mengalir di padang gurun, seperti naungan batu besar di tanah yang tandus.

[3] Mata dan telinga mereka akan sentiasa terbuka untuk memperhatikan keperluan rakyat.

[4] Mereka yang dahulu terburu-buru akan bertindak dengan sabar dan penuh pengertian. Mereka yang gagap akan bertutur dengan jelas.

[5] Orang bodoh tidak akan dianggap terhormat, dan penipu tidak dikatakan jujur.

[6] Orang bodoh mengucapkan kata-kata yang bodoh dan merancangkan perkara yang jahat. Perbuatan dan perkataan mereka menghinakan TUHAN. Mereka tidak pernah memberikan makanan kepada orang lapar atau memberikan minuman kepada orang dahaga.

[7] Penipu memikirkan dan melakukan yang jahat. Mereka mencari akal untuk menipu orang miskin dengan kata-kata dusta, dan mencegah orang miskin mendapat hak mereka.

[8] Tetapi orang yang luhur merancangkan hal-hal yang luhur, dan bertindak dengan luhur.

[9] Dengarlah, hai kaum wanita yang hidup senang, bebas daripada kekhuatiran.

[10] Kamu berasa puas hati sekarang, tetapi setahun lagi kamu akan putus asa, kerana buah anggur akan habis musnah.

[11] Kamu telah hidup senang, bebas daripada kekhuatiran, tetapi sekarang gementarlah ketakutan! Tanggalkanlah pakaian kamu dan ikatlah kain guni pada pinggang kamu.

[12] Tebahlah dada dengan sedih, kerana ladang yang subur dan ladang anggur kamu telah musnah.

[13] Sekarang semak dan belukar berduri tumbuh di tanah bangsaku. Tangisilah rumah-rumah tempat orang bersukaria, dan kota yang penuh kesibukan.

[14] Bahkan istana pun akan ditinggalkan dan ibu kota menjadi lengang. Bukit-bukit dan menara-menara pengawal akan runtuh selama-lamanya. Keldai liar dan domba akan berkeliaran dan merumput di sana.

[15] Tetapi sekali lagi Allah akan datang dengan kuasa-Nya. Maka tanah yang tandus akan menjadi subur, dan ladang akan mengeluarkan hasil yang banyak.

[16] Di serata negeri akan terdapat kejujuran dan keadilan.

[17] Negeri itu akan menjadi aman dan tenteram selama-lamanya kerana tiap-tiap orang melakukan apa yang benar.

[18] Umat Allah tidak perlu khuatir lagi, dan rumah mereka akan menjadi aman dan selamat,

[19] walaupun hutan akan ditimpa hujan batu dan kota akan runtuh sama sekali.

[20] Alangkah bahagianya semua orang kerana air untuk tanaman akan berkelimpahan, dan padang rumput menjadi tempat yang aman bagi keldai dan lembu.

Yesaya — Chapters