Skip to content
Opens in a new window

[1] Apabila orang baik meninggal, tiada sesiapa pun mengerti atau mempedulikannya. Tetapi apabila mereka meninggal, mereka terlepas daripada malapetaka.

[2] Mereka mendapat kedamaian dan rehat di dalam kubur.

[3] Marilah, hai orang berdosa. Biarlah kamu diadili! Kamu sejahat tukang sihir, orang yang suka berzina, dan pelacur.

[4] Siapakah yang hendak kamu permainkan? Hai pendusta, siapakah yang kamu tertawakan?

[5] Kamu menyembah dewa-dewa kesuburan dengan melakukan hubungan jenis di bawah pokok-pokok keramat. Kamu mempersembahkan anak-anak kamu sebagai korban di celah-celah bukit batu, di lembah sungai.

[6] Kamu mengambil batu-batu yang licin dari sungai, lalu menyembahnya sebagai berhala. Kamu mempersembahkan wain dan bijirin kepada berhala-berhala itu. Adakah kamu menyangka bahawa Aku berkenan dengan semua itu?

[7] Kamu pergi ke puncak gunung yang tinggi-tinggi untuk mempersembahkan korban dan memuaskan nafsu berahi.

[8] Kamu memasang berhala-berhala yang cabul di belakang pintu dan tiang pintu kamu. Kamu telah meninggalkan Aku. Kamu bertelanjang lalu naik ke katil yang besar bersama-sama kekasih kamu: orang yang kamu upah supaya berseketiduran dengan kamu. Dengan cara itu kamu memuaskan nafsu.

[9] Kamu memakai minyak dan wangi-wangian lalu menyembah Dewa Molokh. Kamu mengirim utusan ke negeri-negeri jauh, bahkan ke dunia orang mati.

[10] Kamu penat mencari berhala lain, namun kamu tidak mahu berhenti. Kamu menyangka berhala-berhala kamu yang cabul dapat menguatkan kamu sehingga kamu tidak menjadi lemah.

[11] TUHAN berfirman, “Siapakah dewa-dewa yang menakut-nakutkan kamu sehingga kamu berdusta terhadap-Ku dan melupakan Aku sama sekali? Adakah kamu tidak lagi menghormati Aku kerana Aku terlalu lama berdiam diri?

[12] Kamu menyangka bahawa perbuatan kamu benar, tetapi Aku akan mendedahkan kelakuan buruk itu, dan berhala-berhala kamu tidak akan dapat menolong kamu.

[13] Apabila kamu berseru minta tolong, biarlah berhala-berhala kamu menyelamatkan kamu! Berhala-berhala itu akan hilang diterbangkan oleh satu hembusan angin! Tetapi orang yang percaya kepada-Ku akan mewarisi negeri ini. Mereka akan menyembah Aku di dalam Rumah-Ku.”

[14] TUHAN berfirman, “Biarlah umat-Ku kembali kepada-Ku. Binalah dan siapkanlah jalan! Singkirkanlah tiap-tiap halangan di jalan mereka!

[15] Akulah Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Suci, yang hidup selama-lamanya. Aku tinggal di tempat yang tinggi dan suci, tetapi Aku tinggal juga bersama-sama orang yang rendah hati dan yang bertaubat daripada dosa, supaya Aku dapat memulihkan keyakinan dan harapan mereka.

[16] Akulah yang memberikan hidup kepada umat-Ku. Aku tidak menuduh mereka terus-menerus, dan Aku tidak sentiasa murka terhadap mereka.

[17] Aku murka terhadap mereka kerana dosa dan ketamakan mereka. Itulah sebabnya Aku menghukum dan meninggalkan mereka. Tetapi mereka degil dan tetap mengikut jalan sendiri.

[18] Aku sudah melihat kelakuan mereka, namun Aku akan menyembuhkan mereka. Aku akan memimpin dan menolong mereka. Aku akan menghiburkan hati orang yang berkabung.

[19] Aku memberikan kedamaian kepada semua orang, baik yang dekat mahupun yang jauh! Aku akan menyembuhkan umat-Ku.

[20] Tetapi orang jahat seperti laut yang berombak dan tidak pernah tenang; arusnya membawa sampah dan lumpur.

[21] Orang berdosa tidak akan selamat.”

Yesaya — Chapters