Skip to content
Opens in a new window

[1] TUHAN berfirman, “Inilah hamba-Ku, yang telah Kukuatkan; seorang yang telah Kupilih, dan yang menyenangkan hati-Ku. Kuasa-Ku telah Kuberikan kepadanya, dia akan membawa keadilan kepada setiap bangsa.

[2] Dia tidak akan berteriak ataupun menyaringkan suaranya, dan suaranya tidak akan terdengar di jalan.

[3] Dia tidak akan mematahkan buluh halus yang terkulai, ataupun memadamkan pelita yang kelap-kelip. Dia akan mendatangkan keadilan kepada semua orang.

[4] Dia tidak akan kehilangan semangat atau putus asa sehingga dia menegakkan keadilan di bumi. Negeri-negeri yang jauh menanti-nantikan ajarannya.”

[5] TUHAN Allah menciptakan dan membentangkan langit; Dia membentuk bumi serta segala yang hidup di atasnya; Dia memberikan nyawa dan nafas kepada manusia. Sekarang Allah berfirman kepada hamba-Nya,

[6] “Aku, TUHAN telah memanggil engkau serta menugaskan engkau untuk menjalankan keadilan di bumi. Melalui engkau Aku akan membuat perjanjian dengan semua orang; melalui engkau Aku akan menerangi bangsa-bangsa.

[7] Engkau akan mencelikkan mata orang buta, dan membebaskan orang dari penjara yang gelap.

[8] Akulah TUHAN, itulah nama-Ku. Aku tidak akan memberikan kemuliaan-Ku kepada sesiapa, atau pujian-Ku kepada mana-mana berhala.

[9] Hal-hal yang telah Kunubuatkan sudah pun berlaku. Sekarang Aku akan memberitahu kamu hal-hal baru sebelum semua itu berlaku.”

[10] Nyanyikanlah lagu baru bagi TUHAN; pujilah Dia, hai seluruh bumi! Pujilah Dia, hai laut dan semua isinya, bernyanyilah, hai penduduk negeri-negeri jauh!

[11] Hendaklah padang gurun dan kota-kotanya memuji Allah; hendaklah orang Kedar memuji Dia! Hendaklah penduduk kota Sela bersorak-sorak dari puncak-puncak gunung!

[12] Hendaklah orang yang tinggal di negeri-negeri jauh memuji dan memuliakan TUHAN!

[13] TUHAN maju berperang seperti seorang pahlawan yang penuh semangat untuk berperang. Dia memekik sebagai isyarat perang; Dia menunjukkan keperkasaan-Nya terhadap musuh.

[14] Allah berfirman, “Sudah lama Aku membisu; Aku diam dan menahan diri. Tetapi sekarang tibalah saatnya untuk bertindak; Aku akan berteriak seperti perempuan yang hendak bersalin.

[15] Aku akan membuat gunung dan bukit menjadi tandus, dan melayukan segala tumbuhan dan rumputnya. Aku akan mengubah sungai di lembah menjadi padang gurun, dan mengeringkan kolam-kolam air.

[16] Aku akan memimpin umat-Ku yang buta melalui jalan yang belum pernah dilalui mereka. Aku akan mengubah kegelapan mereka menjadi cahaya, dan meratakan jalan yang berlekak-lekuk bagi mereka. Itulah hal-hal yang akan Kulakukan, Aku pasti melaksanakan segala-galanya.

[17] Semua orang yang percaya kepada berhala, dan menganggap patung-patung sebagai dewa akan dihinakan dan dipermalukan.”

[18] TUHAN berfirman, “Dengarlah, hai orang pekak! Lihatlah baik-baik, hai orang buta!

[19] Adakah sesiapa yang lebih buta daripada hamba-Ku, atau lebih pekak daripada utusan-Ku?

[20] Hai Israel, begitu banyak yang telah kamu lihat, tetapi alangkah sedikit yang kamu fahami. Kamu mempunyai telinga, tetapi kamu tidak mendengar.”

[21] TUHAN sentiasa ingin menyelamatkan; Dia mahu hukum-Nya dihormati dan diagungkan.

[22] Tetapi sekarang umat-Nya telah dijarah, mereka ditahan di dalam penjara bawah tanah, dan dikurung di dalam penjara. Mereka dirompak dan dijarah, tiada sesiapa pun menyelamatkan mereka.

[23] Mahukah sesiapa mendengar? Mulai sekarang mahukah kamu mendengar baik-baik?

[24] Siapakah yang menyerahkan Israel kepada tangan musuh? TUHAN sendiri, kerana kita telah berdosa terhadap-Nya! Kita tidak mahu hidup menurut kehendak-Nya ataupun mentaati ajaran-Nya.

[25] Oleh itu Dia membiarkan kita merasakan kemurkaan-Nya, dan menderita keganasan peperangan. Seperti api, kemurkaan-Nya membakar seluruh Israel, namun kita tidak memahami apa yang telah berlaku; kita tidak belajar daripada pengalaman itu.

Yesaya — Chapters