[1] Pada hari itu TUHAN akan menggunakan pedang-Nya yang besar, tajam, dan yang membawa maut untuk menghukum Lewiatan, ular yang meluncur dan yang melingkar-lingkar itu, dan untuk membunuh naga laut.
[2] Pada hari itu TUHAN akan berfirman tentang ladang anggur-Nya yang indah,
[3] “Aku menjaga ladang itu dan selalu menyiramnya. Aku menjaganya siang malam supaya tiada seorang pun dapat mengganggunya.
[4] Aku tidak murka lagi terhadap ladang itu. Jika terdapat duri dan belukar di situ, Aku akan membakarnya habis-habis.
[5] Tetapi jika musuh umat-Ku menghendaki perlindungan-Ku, biarlah mereka berdamai dengan Aku. Ya, biarlah mereka berdamai dengan Aku.”
[6] Pada masa hadapan, umat Israel iaitu keturunan Yakub akan berakar seperti sebatang pokok, dan mereka akan bertunas serta berbunga. Bumi akan dipenuhi buah-buah mereka.
[7] Israel belum pernah dihukum oleh TUHAN seberat musuh mereka. Mereka juga belum pernah kehilangan begitu banyak rakyat seperti musuh mereka.
[8] TUHAN menghukum umat-Nya dengan membuang mereka ke negeri orang. Dia mengusir mereka dengan angin kejam dari timur.
[9] Dosa Israel hanya dapat diampunkan apabila batu mazbah dewa-dewa telah dihancurkan sehingga menjadi seperti kapur, dan tiada lagi mazbah untuk membakar kemenyan, dan tiada lagi lambang-lambang Dewi Asyera.
[10] Kota berkubu itu sudah menjadi sepi dan ditinggalkan sehingga tidak berpenghuni seperti padang gurun. Kawanan lembu merumput dan berehat di situ sambil menghabiskan daun dari dahan-dahan pokok.
[11] Apabila dahan pokok telah kering dan patah, dahan-dahan itu dikumpulkan oleh kaum wanita untuk dijadikan kayu api. Kerana bangsa itu tidak mengerti apa-apa, Allah Pencipta mereka tidak menyayangi ataupun mengasihani mereka.
[12] Pada masa itu, dari Sungai Efrat sampai ke sempadan negeri Mesir, TUHAN akan mengumpulkan umat-Nya seorang demi seorang, seperti orang memisahkan gandum daripada sekam.
[13] Pada hari itu, trompet akan ditiup untuk memanggil pulang semua orang Israel dalam pembuangan di Asyur dan Mesir. Mereka akan datang ke Yerusalem dan menyembah TUHAN di atas bukit-Nya yang suci.