Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:29

[1] Hikmah telah membina rumahnya serta menegakkan ketujuh-tujuh tiangnya.

[2] Ia telah menyembelih haiwannya, mencampurkan air anggurnya, juga menyediakan sajian mejanya.

[3] Ia telah mengutus para pelayan perempuannya, dan dari atas tempat-tempat tinggi di kota ia mengundang,

[4] "Sesiapa yang betul bendul, menyimpanglah ke mari!" Kepada orang yang kurang akal, demikianlah katanya,

[5] "Mari, makanlah rotiku, dan minumlah air anggur yang telah kucampur.

[6] Tinggalkanlah kebebalan, maka kamu akan hidup, dan majulah di jalan pengertian."

[7] Sesiapa yang membetulkan si pencemuh akan mendapat hinaan, dan sesiapa yang menegur orang durjana akan menerima makian.

[8] Jangan tegur pencemuh, nanti dia akan membencimu. Tegurlah orang bijaksana, maka dia akan mengasihimu.

[9] Nasihatilah orang bijaksana, maka dia akan bertambah arif, dan ajarlah orang benar, maka pengetahuannya akan bertambah.

[10] Takut kepada Tuhan adalah permulaan hikmah, dan pengetahuan akan Yang Maha Suci adalah pengertian.

[11] Kerana melalui aku, hari-harimu akan menjadi banyak, dan tahun-tahun kehidupanmu akan ditambah.

[12] Jika engkau bijaksana, maka kebijaksanaanmu itu bagi dirimu, dan jika engkau mencemuh, engkau sendiri kelak menanggungnya.

[13] Perempuan yang bodoh itu cerewet; dia tidak bertimbang rasa, tidak tahu malu dan tidak tahu apa-apa.

[14] Dia duduk di depan pintu rumahnya, di tempat-tempat duduk yang terbuka dan tinggi di kota,

[15] mengundang orang yang melintasi jalan, yang sedang berjalan lurus,

[16] "Sesiapa yang betul bendul, menyimpanglah ke mari!" Kepada yang kurang berakal demikian katanya,

[17] "Air curian manis rasanya, dan roti yang dimakan secara bersembunyi-sembunyi sedap rasanya."

[18] Tetapi orang itu tidak tahu bahawa di situ ada arwah, lantaran tamu-tamunya berada di alam barzakh.

Amsal — Chapters