[1] Hai anakku, berilah perhatian kepada hikmahku, dan arahkanlah telingamu kepada pengertianku,
[2] supaya kamu sentiasa berbudi bicara, dan bibirmu dapat memelihara pengetahuan.
[3] Biarpun bibir perempuan lucah menitiskan madu, dan kata-katanya lebih licin daripada minyak,
[4] pada akhirnya ia pahit seperti hempedu, dan tajam seperti pedang bermata dua.
[5] Kakinya turun menuju maut, dan langkahnya langsung menuju alam barzakh.
[6] Dia tidak perhatikan jalan kehidupannya; Jalannya sesat tetapi tidak disedarinya.
[7] Maka hai anak-anakku, dengarlah nasihatku, dan jangan menyimpang daripada kata-kataku.
[8] Jauhkan hidupmu daripada perempuan itu, dan jangan dekati pintu rumahnya,
[9] agar kehormatanmu tidak diragut oleh orang lain, dan tahun-tahun umurmu diserahkan kepada orang yang kejam;
[10] supaya jangan orang lain dikenyangkan oleh kekuatanmu, dan hasil penat lelahmu masuk ke rumah orang asing,
[11] sehingga engkau mengeluh akhirnya, ketika daging dan tubuhmu habis binasa.
[12] Kemudian engkau berkata, "Kenapalah aku membenci didikan dan hatiku menolak teguran?
[13] Aku jua tidak mematuhi ajaran para guruku, dan tidak mengarahkan telingaku kepada orang yang mendidikku.
[14] Aku nyaris hancur lebur di tengah-tengah jemaah dan perhimpunan orang."
[15] Minumlah air daripada telagamu sendiri, dan air yang segar daripada perigimu sendiri.
[16] Patutkah mata airmu memencar ke mana-mana, dan aliran airmu mengalir di jalan-jalan raya?
[17] Biarlah itu menjadi milikmu sendiri, dan jangan menjadi milik orang asing yang berada bersamamu.
[18] Semoga mata airmu diberkati. Bersukacitalah dengan isteri masa mudamu,
[19] bagai seekor rusa yang jelita, kambing hutan anggun. Biarlah payudaranya sentiasa memuaskanmu, dan engkau selalu ghairah dengan cintanya.
[20] Hai anakku, apa gunanya engkau ghairah dengan perempuan lucah, dan mendakap dada perempuan penzina?
[21] Kerana jalan-jalan manusia nyata di hadapan mata Tuhan, dan Dia meneliti setiap langkahnya.
[22] Orang durjana akan terjebak dalam kejahatannya sendiri, dan terjerat dalam serabut dosanya.
[23] Dia akan mati kerana kurang didikan, dan tersesat dalam keluasan kancah kebodohannya sendiri.