[1] Jangan bermegah tentang hari esok, kerana engkau tidak tahu apa yang akan terjadi pada hari itu.
[2] Biarlah orang lain memujimu, jangan mulutmu sendiri, bahkan orang yang tidak kaukenal, bukan bibirmu sendiri.
[3] Batu itu berat, begitu juga pasir, tetapi hasutan orang bodoh lebih berat daripada kedua-duanya.
[4] Murka itu bengis, dan kemarahan seperti air bah, tetapi siapa dapat bertahan terhadap cemburu?
[5] Lebih baik teguran yang nyata daripada kasih yang tersembunyi.
[6] Pukulan seorang sahabat dapat diyakini baik, tetapi ciuman seorang musuh menubikan kelicikan.
[7] Orang yang kenyang meluat akan indung madu, tetapi bagi orang lapar, semua yang pahit terasa manis.
[8] Seperti burung yang menyimpang jauh lalu meninggalkan sarangnya, demikianlah perantauan orang yang meninggalkan tempat tinggalnya.
[9] Minyak dan wangi-wangian menyenangkan hati, begitu jugalah keikhlasan nasihat seseorang manis bagi sahabatnya.
[10] Jangan tinggalkan sahabatmu atau sahabat ayahmu, dan jangan datangi rumah saudaramu pada waktu kemalanganmu; tetangga yang dekat lebih baik daripada saudara yang jauh.
[11] Hendaklah engkau bijaksana, hai anakku, dan sukakanlah hatiku supaya aku dapat menjawab kalangan yang mencelaku.
[12] Orang bijaksana melihat bahaya lalu bersembunyi, tetapi orang betul bendul berjalan terus lalu menderita akibatnya.
[13] Jika seseorang menjadi penjamin bagi orang lain, ambillah pakaiannya, dan tahanlah dia jika dia menjadi penjamin bagi perempuan penzina.
[14] Kata-kata berkat yang diucapkan bagi kawan dengan suara keras pada awal-awal pagi, akan dianggap sebagai kutukan.
[15] Seperti titisan air pada waktu hujan, demikianlah isteri yang suka bertengkar;
[16] sesiapa menahannya, menahan angin atau menggenggam minyak dengan tangan kanannya.
[17] Besi menajamkan besi, demikian juga orang menajamkan sesamanya.
[18] Sesiapa memelihara pokok ara, akan memakan buahnya, dan orang yang melindungi tuannya akan dihormati.
[19] Seperti air mencerminkan wajah, demikianlah hati manusia mencerminkan diri manusia itu.
[20] Alam kubur dan tempat kebinasaan tidak pernah puas, demikian jugalah mata manusia tidak pernah puas.
[21] Mangkuk pijar untuk perak dan relau untuk emas, tetapi manusia diuji menurut pujian yang diterimanya.
[22] Sekalipun orang bodoh kautumbuk dalam lesung dengan alu bersama-sama gandum, tidak akan hilang kebodohannya daripadanya.
[23] Ketahuilah dengan baik keadaan haiwanmu dan perhatikanlah kawanan ternakmu,
[24] kerana harta benda tidaklah kekal, begitu juga mahkota tidak tetap turun-temurun.
[25] Ketika rumput lama menghilang, rumput muda terlihat, dan tumbuh-tumbuhan gunung dikumpulkan,
[26] maka domba-domba akan menyediakan pakaian bagimu dan kambing-kambing jantan akan menyediakan wang pembeli ladang.
[27] Akan cukup susu kambing untuk rezekimu, rezeki keluargamu, dan penghidupan para pelayan perempuanmu.