Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:47

[1] Perempuan yang bijaksana membina rumahnya, tetapi yang bodoh merobohkannya dengan tangannya sendiri.

[2] Sesiapa yang hidup jujur, takut kepada Tuhan, tetapi orang yang menyimpang perilakunya menghina Dia.

[3] Di dalam mulut orang bodoh ada rotan bagi punggungnya, tetapi orang bijaksana dijaga oleh bibirnya.

[4] Jika tidak ada lembu, maka bersihlah kandang, tetapi dengan kekuatan lembu banyaklah hasil.

[5] Saksi yang setia tidak akan berdusta, tetapi saksi dusta menyampaikan pembohongan.

[6] Si pencemuh mencari hikmah dan tidak mendapatinya, tetapi orang yang berpengertian mudah mendapati pengetahuan.

[7] Jauhilah orang bodoh, kerana pada bibirnya tidak akan kautemukan pengetahuan.

[8] Hikmah orang bijaksana adalah memahami jalan hidupnya, tetapi kebodohan orang tolol adalah tipu daya.

[9] Orang bodoh mencemuh korban yang menebus kesalahan, tetapi kebajikan terdapat dalam kalangan yang tulus hati.

[10] Hati mengetahui kepahitannya sendiri, dan kegembiraannya tidak dapat turut dirasakan orang lain.

[11] Rumah orang durjana akan musnah, tetapi khemah orang yang jujur akan berkembang maju.

[12] Ada jalan yang dianggap orang lurus, tetapi akhirnya menuju maut.

[13] Dalam tertawa pun hati dapat berasa sakit, dan kesukaan dapat berakhir dengan duka.

[14] Orang yang hatinya menyeleweng akan mendapat balasan untuk jalannya sendiri, dan orang yang baik untuk perbuatannya.

[15] Orang yang betul bendul mempercayai segala-galanya, tetapi orang bijaksana mempertimbangkan gerak langkahnya.

[16] Orang bijaksana berwaspada dan menghindari kejahatan, tetapi orang bodoh bongkak dan ceroboh.

[17] Orang yang lekas marah bertindak bodoh, dan sesiapa yang merancang kejahatan dibenci.

[18] Orang yang betul bendul mewarisi kebodohan, tetapi orang yang bijaksana bermahkotakan pengetahuan.

[19] Orang jahat tunduk kepada orang baik, dan orang durjana di pintu gerbang orang benar.

[20] Orang miskin dibenci, bahkan oleh jirannya, tetapi ramai sekali sahabat si orang kaya.

[21] Sesiapa yang menghina jirannya berbuat dosa, tetapi berbahagialah orang yang mengasihani fakir miskin.

[22] Bukankah orang yang merancang kejahatan itu sesat? Walhal orang yang merancang kebaikan memperoleh kasih dan kesetiaan.

[23] Segala penat lelah mendatangkan keuntungan, tetapi kata-kata kosong hanya mendatangkan kemiskinan.

[24] Kekayaan ialah mahkota orang bijaksana, tetapi kebodohan orang bodoh sekadar menghasilkan kebodohan.

[25] Saksi yang bercakap benar menyelamatkan nyawa, tetapi orang yang berdusta ialah pengkhianat.

[26] Orang yang takut kepada Tuhan menampilkan keyakinan yang kuat, dan anak-anaknya mendapat perlindungan.

[27] Takut kepada Tuhan ialah mata air kehidupan, sehingga seseorang itu dapat menghindari jerat-jerat maut.

[28] Rakyat yang ramai ialah kemuliaan raja, tetapi tanpa rakyat runtuhlah pemerintah.

[29] Sesiapa yang panjang sabar, besar pengertiannya, tetapi orang yang lekas naik darah mempamerkan kebodohan.

[30] Hati yang tenteram menyegarkan tubuh, tetapi hasad dengki mereputkan tulang.

[31] Sesiapa menindas orang miskin, mencela Penciptanya, tetapi sesiapa yang mengasihani orang yang melarat, memuliakan Dia.

[32] Orang durjana dihempaskan kerana kejahatannya, tetapi orang benar mendapatkan pelindung dalam kematiannya.

[33] Hikmah wujud dalam hati orang yang berpengertian, bahkan dalam kalangan bodoh pun hikmah dinyatakan.

[34] Perbenaran meninggikan martabat sesuatu bangsa, tetapi dosa menjadi keaiban mana-mana sahaja bangsa.

[35] Raja berkenan kepada hamba yang bijaksana, tetapi dia murka terhadap orang yang membawa keaiban.

Amsal — Chapters