Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:25

[1] Hai anakku, pegang teguh kata-kataku, dan sematkanlah segala perintahku dalam hatimu.

[2] Patuhi segala perintahku, maka engkau akan hidup; peliharalah ajaranku seperti biji matamu.

[3] Tambatkanlah segalanya pada jarimu, dan pahatkanlah kesemuanya pada loh hatimu.

[4] Katakanlah kepada hikmah, "Engkau saudaraku," dan anggaplah pengertian itu kerabatmu yang karib,

[5] supaya engkau terhindar daripada perempuan lucah, dan daripada perempuan penzina dengan pujuk rayunya.

[6] Dari jendela rumahku, ketika aku menjenguk melalui kekisi,

[7] kulihat di antara orang yang betul bendul, dan kuperhatikan dalam kalangan teruna, seorang muda yang tidak berakal budi.

[8] Dia melintasi jalan dekat persimpangan lalu melangkah menuju rumah perempuan sebegitu

[9] pada waktu maghrib, pada waktu senja, menjelang malam yang gelap gelita.

[10] Muncullah seorang perempuan datang menemuinya, berpakaian lucah dan berhati licik.

[11] Liar sifatnya dan jiwanya memberontak. Kakinya tidak betah di rumah,

[12] sebentar di jalan, sebentar di medan-medan umum, dan di setiap persimpangan dia menyasar.

[13] Dirangkulnya si anak muda itu dan diciumnya, lalu dengan galak dia berkata kepadanya,

[14] "Aku harus mempersembahkan korban kedamaian, dan pada hari ini aku telah menunaikan nazarku.

[15] Maka aku pun keluar untuk bertemu denganmu; Aku mencarimu dengan sedaya upaya, lalu kini kutemui engkau.

[16] Di atas tempat tidurku telah kubentangkan alas, kain linen beraneka warna dari Mesir.

[17] Aku telah mengharumkan katilku itu dengan damar wangi, gaharu, dan kayu manis.

[18] Marilah kita melampiaskan berahi sampai pagi hari, dan menghirup nikmat cinta,

[19] kerana suamiku tiada di rumah, dia sedang menempuh perjalanan yang jauh.

[20] Dia membawa sekantung wang, dan hanya akan pulang ke rumah menjelang bulan purnama."

[21] Dengan pujuk cumbu dia memikat, dan dengan rayuan bibirnya yang licin dia menggoda.

[22] Lantas anak muda itu mengikutinya seperti lembu yang dihela ke tempat penyembelihan, seperti orang terbelenggu yang dihela ke tempat penghukuman orang bodoh,

[23] sampai anak panah menikam hatinya. Dia seperti burung yang bergegas menuju masuk jerat, tanpa sedar nyawanya terancam.

[24] Oleh sebab itu, hai anak-anakku, dengarlah aku, perhatikanlah kata-kata mulutku.

[25] Janganlah hatimu menyimpang ke jalan-jalan perempuan sebegitu, dan janganlah tersesat di lorong-lorongnya,

[26] kerana telah banyak mangsa yang dijatuhkannya, dan orang gagah yang dimusnahkannya.

[27] Rumahnya memang jalan menuju ke alam barzakh, yang menjunam ke dalam ruang-ruang maut.

Amsal — Chapters