Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:57

[1] Inilah kata-kata Lemuel, raja Masa, yang diajarkan oleh ibunya kepadanya:

[2] Hai anakku, hai anak daripada rahimku, dan hai anak nazarku,

[3] jangan serahkan kekuatanmu kepada perempuan, dan jalan hidupmu kepada pembinasa para raja.

[4] Tidaklah patut bagi raja, hai Lemuel, tidaklah patut bagi raja minum air anggur, atau bagi para penguasa menginginkan minuman keras.

[5] Kerana jika mereka meminumnya, jangan-jangan mereka lupa kepada ketetapan, dan menyelewengkan hak semua orang yang tertindas.

[6] Berikanlah minuman keras kepada orang yang hampir mati, dan air anggur kepada orang yang getir hatinya.

[7] Biarlah dia minum dan lupa akan kemiskinannya, serta tidak lagi mengingat akan kesusahannya.

[8] Bukalah mulutmu demi mempertahankan orang bisu, dan bagi hak semua orang yang hampir lenyap.

[9] Bukalah mulutmu, adililah secara benar, belalah hak orang miskin dan orang melarat.

[10] Isteri yang cemerlang, siapakah dapat menemukannya? Dia jauh lebih berharga daripada intan berlian.

[11] Hati suaminya mempercayainya dan suaminya tidak akan kekurangan keuntungan.

[12] Dia berbuat baik kepada suaminya, bukan berbuat jahat, seumur hidupnya.

[13] Dia mencari bulu domba dan rami, lalu dengan senang hati bekerja dengan tangannya.

[14] Dia seperti kapal saudagar, dibawanya makanannya dari jauh.

[15] Dia bangun ketika hari masih gelap, disiapkannya makanan untuk seisi rumahnya, dan bahagian tugas bagi setiap pelayan perempuannya.

[16] Setelah menimbangkan sewajar-wajarnya, dibelinya sebuah ladang, dan daripada hasil tangannya ditanaminya kebun anggur.

[17] Dia mengikat pinggangnya dengan kekuatan, dan menguatkan lengannya.

[18] Dia tahu bahawa usahanya menguntungkan; pada malam hari pelitanya tidak padam.

[19] Tangannya diletakkannya pada pemintal, dan jari-jarinya memegang gelendong benang.

[20] Dia membuka tangannya bagi orang miskin, dan menghulurkan tangannya bagi orang melarat.

[21] Dia tidak mengkhuatirkan keluarganya ketika musim sejuk tiba, kerana seisi rumahnya berpakaian tebal.

[22] Dia membuat bagi dirinya permaidani, dan pakaiannya pun daripada linen halus berwarna ungu.

[23] Suaminya dikenal orang di pintu gerbang, ketika dia duduk bersama para tua-tua negeri.

[24] Dia membuat pakaian daripada linen lalu menjualnya, dan dia menyediakan ikat pinggang bagi para pedagang.

[25] Kekuatan dan kehormatan adalah pakaiannya; dia tersenyum terhadap hari yang mendatang.

[26] Dia membuka mulutnya dengan hikmah, dan ajaran kebaikan hati ada di lidahnya.

[27] Dia mengawasi jalan rumah tangganya, dan buah hasil kemalasan tidak dijamahnya.

[28] Anak-anaknya bangkit dan menyanjungnya, suaminya pun memujinya,

[29] "Ramai perempuan yang perbuatan mereka sangat baik, tetapi engkau melebihi mereka semua."

[30] Daya tarikan memperdaya dan kecantikan cuma kesia-siaan, tetapi perempuan yang takut kepada Tuhan akan dipuji-puji.

[31] Berikanlah kepadanya hasil tangannya, dan biarlah hasil kerjanya memuji-mujinya di pintu-pintu gerbang!

Amsal — Chapters