[1] Neraca yang palsu adalah kekejian bagi Tuhan, tetapi batu timbangan yang tepat adalah keredaan-Nya.
[2] Ketika keangkuhan datang, aib pun menyusul, tetapi dengan kerendahan hati datangnya hikmah.
[3] Orang yang ikhlas akan dipimpin oleh ketulusannya, tetapi orang yang khianat dibinasakan oleh kecurangannya.
[4] Pada hari kemurkaan, harta tidak berguna, tetapi perbenaran melepaskan orang daripada maut.
[5] Jalan orang yang tidak bercela diluruskan oleh perbenarannya, tetapi orang yang durjana jatuh oleh kedurjanaannya sendiri.
[6] Orang yang tulus hati diselamatkan oleh perbenarannya, tetapi orang yang khianat terjebak oleh kerakusannya sendiri.
[7] Ketika orang durjana mati, harapannya lenyap, dan segala kekayaan yang diharapkan hancur juga.
[8] Orang benar dilepaskan daripada kesesakan, yang lantas menimpa orang durjana.
[9] Dengan mulutnya, orang yang munafik membinasakan jirannya, tetapi dengan pengetahuan orang benar terselamat.
[10] Jika orang benar beruntung, seluruh kota bergembira, dan jika orang durjana binasa, orang bersorak-sorai.
[11] Kota dimuliakan kerana keberkatan orang yang lurus hati, tetapi diruntuhkan kerana mulut orang durjana.
[12] Orang yang tidak berakal budi memandang rendah jirannya, tetapi orang yang berpengertian berdiam diri.
[13] Orang yang membawa mulut ke sana ke mari membuka rahsia, tetapi orang yang amanah menjaga rahsia.
[14] Jika tidak ada pimpinan, jatuhlah sesuatu bangsa, tetapi jika banyak penasihat keselamatan terjamin.
[15] Orang yang menjadi penjamin bagi orang lain bakal mendapat susah, tetapi orang yang benci urusan menaja jamin akan aman.
[16] Perempuan yang bersopan santun memperoleh kehormatan, walhal orang yang kejam hanya memperoleh kekayaan.
[17] Orang yang baik hati menguntungkan dirinya sendiri, tetapi orang yang kejam memudaratkan diri sendiri.
[18] Orang durjana mendapat upah yang mungkar, tetapi orang yang menabur perbenaran mendapat pahala yang pasti.
[19] Orang yang teguh dalam perbenaran akan memperoleh kehidupan, tetapi orang yang mengejar kejahatan meluru menempah kematiannya.
[20] Orang yang derhaka hatinya adalah kekejian bagi Tuhan, tetapi orang yang jalannya tidak bercela adalah keredaan-Nya.
[21] Yakinlah, orang yang jahat tidak akan terlepas daripada hukuman, tetapi keturunan orang benar akan diselamatkan.
[22] Seperti anting-anting emas di jongor babi, demikianlah perempuan cantik yang mengetepikan budi bicara.
[23] Keinginan orang benar mendatangkan kebaikan semata-mata, tetapi harapan orang durjana mendatangkan murka.
[24] Ada orang yang sering bermurah hati namun begitu semakin bertambah kaya, ada orang yang menahan apa yang patut diberikannya namun kian susut juga miliknya.
[25] Jiwa yang suka beramal jariah akan diberi kelimpahan, orang yang memberikan air kepada orang, dia sendiri akan diberi minum.
[26] Kutukan umum tertuju kepada sesiapa yang menyorokkan hasil ladang, tetapi keberkatan akan tercurah ke atas orang yang menjualnya.
[27] Orang yang mencari kebaikan akan mendapat kebajikan, tetapi orang yang mengejar kejahatan akan ditimpa kejahatan.
[28] Sesiapa yang mengharapkan kekayaannya akan jatuh, tetapi orang benar akan tumbuh subur seperti daun rimbun.
[29] Sesiapa yang menyusahkan rumah tangganya akan menangkap angin, dan orang bodoh akan menjadi hamba kepada orang yang bijaksana.
[30] Hasil orang benar ialah pokok hayat, dan orang yang bijaksana, pandai mengambil hati orang.
[31] Jika orang warak pun menerima balasan di bumi ini, apatah lagi orang yang ingkar dan orang yang berdosa!