[1] Orang durjana lari padahal tidak ada yang mengejarnya, tetapi orang benar berani seperti singa muda.
[2] Ketika sebuah negeri memberontak, akan ada ramai penguasanya, tetapi jika adanya seorang yang berpengertian dan berpengetahuan, maka negeri itu akan bertahan.
[3] Orang miskin yang menindas orang miskin seumpama hujan lebat yang tidak membawa rezeki.
[4] Orang yang mengabaikan Hukum Taurat memuji orang durjana, tetapi orang yang berpegang teguh pada Hukum Taurat menentang mereka.
[5] Orang yang jahat tidak mengerti keadilan, tetapi orang yang mencari Tuhan mengerti segala sesuatu.
[6] Lebih baik orang miskin yang hidup dalam keikhlasannya daripada orang kaya yang berliku-liku jalannya.
[7] Anak yang memelihara Hukum Taurat mempunyai pengertian, tetapi sesiapa yang bergaul dengan orang rakus mengaibkan ayahnya.
[8] Orang yang menambah kekayaannya dengan wang faedah dan riba, mengumpulkannya bagi orang yang mengasihani orang miskin.
[9] Orang yang memalingkan telinganya supaya tidak mendengar Hukum Taurat, maka doanya pun adalah kekejian.
[10] Sesiapa menyesatkan orang yang lurus hati di jalan yang jahat, akan jatuh dalam lubang jebaknya sendiri. Tetapi orang yang tidak bercela akan mewarisi kebajikan.
[11] Orang kaya menganggap dirinya bijaksana, tetapi orang miskin yang berpengertian mengenalinya.
[12] Ketika orang benar menang, ada kemuliaan besar, tetapi ketika orang durjana bangkit, orang menyembunyikan diri.
[13] Orang yang menyembunyikan pelanggarannya tidak akan beruntung, tetapi sesiapa mengakui dan meninggalkannya akan mendapat rahmat.
[14] Berbahagialah orang yang sentiasa takut kepada Tuhan, tetapi orang yang mengeraskan hati akan terperosok ke dalam malapetaka.
[15] Seperti singa yang mengaum dan beruang yang menyerang, demikianlah orang durjana yang menguasai rakyat miskin.
[16] Pemimpin yang kurang pengertian besar penindasannya, tetapi orang yang membenci laba haram memanjangkan umurnya.
[17] Orang yang berhutang darah kepada sesiapa pun akan jadi pelarian sampai ke liang lahat; janganlah ada yang menolongnya.
[18] Sesiapa yang hidup tidak tercela akan diselamatkan, tetapi orang yang jalannya berliku-liku akan jatuh serta-merta.
[19] Sesiapa mengusahakan tanahnya akan kenyang dengan makanan, tetapi sesiapa mengejar hal yang hampa akan kenyang dengan kemiskinan.
[20] Orang yang setia akan memperoleh banyak berkat, tetapi orang yang ingin cepat kaya tidak akan lepas daripada hukuman.
[21] Tidaklah baik bersikap berat sebelah; kerana sekadar untuk sepotong roti orang akan melakukan pelanggaran.
[22] Orang yang kikir memburu kekayaan, tidak tahu bahawa kemiskinan bakal menimpanya.
[23] Sesiapa yang menegur seseorang akhirnya akan lebih disayangi daripada orang yang mengampu dengan lidahnya.
[24] Sesiapa merampas harta ayahnya atau ibunya lalu berkata, "Itu bukan pelanggaran," sememangnya kawan kepada si perosak.
[25] Orang yang tamak membangkitkan pertengkaran, tetapi orang yang percaya kepada Tuhan akan diberi kelimpahan.
[26] Bodohlah orang yang mempercayai hatinya sendiri, tetapi sesiapa yang hidup dengan hikmah akan selamat.
[27] Orang yang memberi kepada orang miskin tidak akan berkekurangan, tetapi orang yang menutup matanya akan mendapat banyak kutukan.
[28] Ketika orang durjana bangkit, orang menyembunyikan diri, tetapi ketika mereka binasa, orang benar bertambah ramai.