[1] Seperti salji pada musim kemarau dan hujan pada musim menuai, demikianlah kehormatan tidak patut bagi orang bodoh.
[2] Seperti tangkasnya terbang burung pipit dan mengapungnya burung layang-layang, demikianlah kutukan tanpa alasan tidak akan hinggap pada sasarannya.
[3] Cemeti bagi kuda, kekang bagi keldai, dan rotan bagi belakang si orang bodoh.
[4] Jangan menjawab orang bodoh menurut kebodohannya, supaya jangan engkau sendiri menjadi sama dengannya.
[5] Jawablah orang bodoh sepadan dengan kebodohannya, supaya jangan dia menganggap dirinya bijaksana.
[6] Seperti memotong kaki sendiri dan menghirup kekerasan, demikianlah orang yang mengirim pesan melalui tangan si bodoh.
[7] Seperti kaki orang tempang yang terkulai, demikianlah pepatah di mulut orang bodoh.
[8] Seperti orang mengikat batu pada tarbil, demikianlah orang yang memberi hormat kepada orang bodoh.
[9] Seperti duri menusuk tangan pemabuk, demikianlah pepatah di mulut orang bodoh.
[10] Seperti pemanah yang melukai setiap orang, demikianlah orang yang mengupah si bodoh atau sesiapa sahaja yang lalu-lalang.
[11] Seperti anjing menjilat muntahnya kembali, demikianlah orang bodoh yang mengulangi kebodohannya.
[12] Adakah engkau memperhatikan orang yang menganggap dirinya arif? Orang yang bodoh ada lebih banyak harapan daripada dia.
[13] Kata si pemalas, "Ada singa di jalan! Ada singa berkeliaran di tengah-tengah jalan!"
[14] Seperti pintu berputar pada engselnya, demikianlah si pemalas di tempat tidurnya.
[15] Si pemalas mencelup tangannya ke dalam pinggan, tetapi dia terlalu penat untuk membawanya semula ke mulutnya.
[16] Si pemalas menganggap dirinya lebih bijak daripada tujuh orang yang dapat menjawab dengan bijaksana.
[17] Seperti orang yang menangkap telinga anjing yang sedang lalu, demikianlah orang yang masuk campur perbalahan yang bukan urusannya.
[18] Seperti orang gila menembakkan panah api, anak panah, dan maut,
[19] demikianlah orang yang menipu jirannya lalu berkata, "Bukankah aku hanya bersenda gurau?"
[20] Kerana kayu habis, padamlah api, dan jika tidak ada pemfitnah, redalah pertengkaran.
[21] Sebagaimana arang untuk bara dan kayu untuk api, demikianlah orang yang suka bertengkar mengapi-apikan pertikaian.
[22] Kata-kata pemfitnah seperti makanan lazat, semuanya turun jauh ke dalam lubuk hati orang.
[23] Seperti tembikar bersalut keladak perak, demikianlah bibir yang manis dengan hati yang jahat.
[24] Si pembenci berpura-pura dengan bibirnya, tetapi dalam hatinya ia menyimpan tipu daya.
[25] Meskipun bicaranya ramah, jangan percaya kepadanya, kerana tujuh kekejian ada dalam hatinya.
[26] Sekalipun kebenciannya ditutupi tipu daya, kejahatannya akan nyata dalam jemaah.
[27] Sesiapa menggali lubang akan terperosok ke dalamnya, dan batu yang digulingkan orang akan kembali menimpa dirinya.
[28] Lidah dusta membenci orang yang disakitinya, dan mulut yang penuh pujuk rayu membawa kehancuran.