[1] Allah tidak melupakan Nuh dan semua binatang yang ada bersama-samanya di dalam bahtera. Allah membuat angin bertiup sehingga air mulai surut.
[2] Segala mata air di bawah tanah dan pintu air di langit ditutup. Hujan berhenti,
[3] lalu air semakin surut. Selepas seratus lima puluh hari, paras air tidak berapa tinggi lagi.
[4] Pada hari ketujuh belas bulan ketujuh, bahtera itu terkandas di sebuah puncak di banjaran Ararat.
[5] Air semakin surut dan pada hari pertama bulan kesepuluh, puncak-puncak gunung mula kelihatan.
[6] Selepas empat puluh hari, Nuh membuka sebuah tingkap bahtera
[7] lalu melepaskan seekor burung gagak. Burung itu tidak kembali tetapi terbang kian ke mari sehingga air banjir surut sama sekali.
[8] Sementara itu, Nuh melepaskan seekor burung merpati untuk mengetahui sama ada air sudah surut.
[9] Oleh sebab air masih meliputi seluruh muka bumi, burung merpati itu tidak mendapat tempat untuk hinggap. Burung merpati itu kembali ke bahtera; Nuh menghulurkan tangannya lalu membawa burung itu ke dalam bahtera.
[10] Nuh menunggu selama tujuh hari, kemudian melepaskan burung itu semula.
[11] Pada petang hari, burung itu kembali kepada Nuh sambil membawa sehelai daun zaitun yang segar pada paruhnya. Dengan itu Nuh mengetahui bahawa air sudah surut.
[12] Dia menunggu selama tujuh hari lagi, lalu melepaskan merpati itu sekali lagi; kali ini merpati itu tidak kembali.
[13] Ketika Nuh berumur 601 tahun, pada hari pertama bulan pertama, air telah surut sama sekali. Nuh membuka bumbung bahtera dan memandang di sekelilingnya. Dia mendapati permukaan tanah sudah mulai kering.
[14] Pada hari kedua puluh tujuh bulan kedua, bumi telah kering.
[15] Kemudian Allah berfirman kepada Nuh,
[16] “Keluarlah dari bahtera bersama-sama isterimu, anak-anakmu serta isteri-isteri mereka.
[17] Bawalah keluar semua burung dan binatang darat, yang kecil mahupun yang besar, supaya burung dan binatang itu dapat berkembang biak dan tersebar ke seluruh bumi.”
[18] Nuh keluar dari bahtera bersama dengan isterinya, anak-anaknya serta isteri masing-masing.
[19] Semua burung dan binatang darat keluar dari bahtera, tiap-tiap jenis bersama dengan kelompok sejenisnya.
[20] Nuh mendirikan sebuah mazbah untuk TUHAN. Dia mengambil seekor daripada tiap-tiap jenis burung dan binatang yang halal, lalu di atas mazbah itu, dia mempersembahkan semuanya sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
[21] Bau harum korban itu menyenangkan hati TUHAN, lalu TUHAN berfirman di dalam hati, “Aku tidak lagi mengutuk bumi kerana perbuatan manusia; Aku tahu bahawa sejak masa muda, fikiran manusia itu jahat. Aku tidak lagi membinasakan semua makhluk hidup, seperti yang telah Aku lakukan kali ini.
[22] Selagi bumi ini ada, akan ada masa menanam dan masa menuai, musim sejuk dan musim panas, musim kemarau dan musim hujan, siang dan malam.”