Skip to content
Opens in a new window

[1] Kemudian TUHAN berfirman kepada Nuh, “Aku mendapati engkau satu-satunya orang yang melakukan kehendak-Ku. Oleh itu masuklah ke dalam bahtera bersama-sama semua anggota keluargamu.

[2] Bawalah tujuh pasang daripada tiap-tiap jenis burung dan binatang yang halal, tetapi hanya satu pasang daripada tiap-tiap jenis yang haram. Lakukanlah hal itu supaya daripada setiap jenis binatang dan burung ada yang terselamat, lalu dapat membiak semula di bumi.

[4] Tujuh hari lagi Aku akan menurunkan hujan yang tidak akan berhenti selama empat puluh hari dan empat puluh malam, supaya semua makhluk hidup yang sudah Aku ciptakan itu binasa.”

[5] Lalu Nuh melakukan segala yang diperintahkan TUHAN.

[6] Nuh berumur enam ratus tahun ketika berlaku banjir di bumi.

[7] Nuh dan isterinya, bersama dengan anak-anaknya serta isteri-isteri mereka, masuk ke dalam bahtera untuk menyelamatkan diri daripada banjir.

[8] Seekor jantan dan seekor betina daripada tiap-tiap jenis burung dan binatang, baik yang halal mahupun yang haram,

[9] masuk ke dalam bahtera bersama dengan Nuh, seperti yang diperintahkan oleh Allah.

[10] Tujuh hari kemudian banjir melanda bumi.

[11] Ketika Nuh berumur enam ratus tahun, pada hari ketujuh belas, bulan kedua, segala mata air di bawah tanah terbelah. Segala pintu air di langit terbuka,

[12] lalu hujan turun selama empat puluh hari dan empat puluh malam.

[13] Pada hari itu juga, Nuh dan isterinya masuk ke dalam bahtera bersama dengan ketiga-tiga orang anak mereka, iaitu Sem, Yafet, dan Ham, serta isteri masing-masing.

[14] Bersama-sama mereka masuk pula setiap jenis binatang, baik yang jinak mahupun yang liar, yang besar mahupun yang kecil, dan juga setiap jenis burung.

[15] Seekor jantan dan seekor betina daripada tiap-tiap makhluk hidup masuk ke dalam bahtera bersama dengan Nuh,

[16] seperti yang diperintahkan oleh Allah. Selepas semuanya masuk, TUHAN menutup pintu bahtera.

[17] Banjir terus-menerus melanda bumi selama empat puluh hari, dan air naik sehingga bahtera terapung.

[18] Air semakin naik sehingga bahtera terapung-apung pada permukaan air.

[19] Air masih naik sehingga meliputi gunung-gunung yang paling tinggi.

[20] Air terus-menerus naik sampai tujuh meter lebih tinggi daripada puncak gunung.

[21] TUHAN membinasakan semua makhluk yang hidup di bumi: manusia, burung, dan binatang darat yang kecil mahupun yang besar. Hanya Nuh dan semua yang ada bersama-sama dia di dalam bahtera tidak binasa.

[24] Air tidak kunjung surut selama seratus lima puluh hari.

Kejadian — Chapters