[1] TUHAN berfirman kepada Abram, “Tinggalkanlah negerimu, kaum keluargamu, dan rumah bapamu; pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu.
[2] Aku akan memberi engkau keturunan yang banyak dan mereka akan menjadi satu bangsa yang besar. Aku akan memberkati engkau dan menjadikan namamu termasyhur, sehingga engkau menjadi berkat bagi bangsa-bangsa.
[3] Aku akan memberkati orang yang memberkati engkau, dan mengutuk orang yang mengutuk engkau. Melalui engkau, Aku akan memberkati semua bangsa di bumi.”
[4] Abram berumur 75 tahun ketika dia meninggalkan Haran, menurut perintah TUHAN kepadanya. Abram berangkat ke tanah Kanaan bersama-sama Sarai isterinya, Lot anak saudaranya, dan membawa semua harta benda serta hamba yang diperoleh mereka di Haran. Selepas mereka tiba di Kanaan,
[6] Abram menjelajahi tanah itu sehingga dia tiba di pokok keramat di More, tempat ibadat di Sikhem. (Pada masa itu orang Kanaan masih tinggal di tanah itu.)
[7] TUHAN menampakkan diri kepada Abram dan berfirman kepadanya, “Inilah negeri yang akan Kuberikan kepada keturunanmu.” Kemudian Abram membina sebuah mazbah di situ untuk TUHAN yang sudah menampakkan diri kepadanya.
[8] Selepas itu Abram meneruskan perjalanannya ke selatan, ke kawasan berbukit di sebelah timur kota Betel, lalu berkhemah di antara Betel dan kota Ai; Betel di sebelah barat dan Ai di sebelah timur. Di situ juga dia membina sebuah mazbah dan menyembah TUHAN.
[9] Kemudian Abram meneruskan perjalanan, dari satu tempat ke tempat berikutnya, menuju ke bahagian selatan tanah Kanaan.
[10] Tetapi ada kebuluran yang sangat dahsyat di negeri Kanaan, sehingga Abram pergi lebih jauh lagi ke selatan, ke negeri Mesir, lalu tinggal di sana untuk sementara waktu.
[11] Pada masa dia hendak melintasi sempadan negeri Mesir, dia berkata kepada isterinya Sarai, “Engkau perempuan cantik.
[12] Apabila orang Mesir nampak engkau, mereka akan berkata, ‘Dia ini isteri Abram’, lalu mereka akan membunuh aku dan membiarkan engkau hidup.
[13] Lebih baik engkau katakan saja bahawa engkau adikku supaya aku dibiarkan hidup dan diperlakukan dengan baik kerana engkau.”
[14] Setelah Abram melintasi sempadan negeri Mesir, orang Mesir nampak bahawa Sarai sangat cantik.
[15] Beberapa orang pegawai istana nampak Sarai, lalu memberitahu raja betapa cantiknya perempuan itu; oleh itu Sarai dibawa ke istana raja.
[16] Kerana Sarai, raja memperlakukan Abram dengan baik lalu memberikan hamba, kawanan domba dan kambing, lembu, keldai, serta unta kepadanya.
[17] Tetapi kerana raja mengambil Sarai, TUHAN mendatangkan penyakit yang dahsyat kepada baginda serta semua orang di dalam istana baginda.
[18] Oleh itu raja memanggil Abram dan bertanya kepadanya, “Apakah yang telah kamu lakukan terhadap beta? Mengapa kamu tidak memberitahu beta bahawa perempuan itu isterimu?
[19] Mengapa kamu katakan bahawa dia adikmu, dan membiarkan beta mengambilnya menjadi isteri beta? Ini dia isterimu; ambillah dia dan pergilah!”
[20] Raja memberikan perintah kepada beberapa orang pegawainya, lalu mereka menyuruh Abram pergi dari negeri itu bersama-sama isterinya dan segala miliknya.