Skip to content
Opens in a new window

[1] Abraham berkahwin lagi dengan seorang perempuan yang bernama Ketura.

[2] Isterinya itu melahirkan Zimran, Yoksan, Medan, Midian, Ishbak, dan Suah.

[3] Yoksan ialah bapa Syeba dan Dedan. Keturunan Dedan ialah orang Asyur, orang Letus, dan orang Leum.

[4] Anak Midian ialah Efa, Efer, Henokh, Abida, dan Eldaa. Mereka semuanya keturunan Ketura.

[5] Walaupun Abraham mewariskan segala harta bendanya kepada Ishak,

[6] semasa Abraham masih hidup, dia memberikan hadiah kepada anak-anak yang dilahirkan oleh isteri-isterinya yang lain. Kemudian dia menyuruh anak-anaknya itu pindah ke daerah di sebelah timur Kanaan, jauh daripada Ishak, anaknya.

[7] Abraham meninggal ketika umurnya sudah lanjut, iaitu 175 tahun.

[9] Anak-anaknya Ishak dan Ismael mengebumikan dia di dalam Gua Makhpela yang terletak di tanah sebelah timur Mamre. Dahulu tanah itu milik Efron anak Zohar, orang Het,

[10] tetapi sudah dibeli oleh Abraham daripada orang Het itu. Sara, isteri Abraham, juga dikebumikan di sana.

[11] Selepas Abraham meninggal, Allah memberkati Ishak, anak Abraham, yang tinggal berhampiran dengan perigi yang disebut “Perigi Dia Yang Hidup Yang Melihat Aku.”

[12] Ismael ialah anak Abraham dan Hagar, perempuan Mesir, hamba Sara.

[13] Berikut ialah nama anak-anak Ismael menurut urutan kelahiran mereka: Nebayot, Kedar, Adbeel, Mibsam,

[14] Misyma, Duma, Masa,

[15] Hadad, Tema, Yetur, Nafis, dan Kedma.

[16] Mereka menjadi nenek moyang dua belas suku; pekan dan perkhemahan mereka disebut menurut nama mereka.

[17] Ismael berumur 137 tahun ketika dia meninggal.

[18] Keturunan Ismael tinggal di kawasan di antara Hawila dan Syur, di sebelah timur Mesir ke arah Asyur. Mereka hidup terpisah daripada keturunan Abraham yang lain.

[19] Inilah kisah Ishak, anak Abraham.

[20] Ishak berumur empat puluh tahun ketika dia berkahwin dengan Ribka anak Betuel, adik Laban, seorang Aram dari Mesopotamia.

[21] Oleh sebab Ribka tidak mempunyai anak, Ishak berdoa kepada TUHAN untuk isterinya. TUHAN mengabulkan doanya sehingga Ribka mengandung.

[22] Ribka mengandung anak kembar. Sebelum anak-anak itu lahir, mereka bergelut di dalam rahim. Ribka berkata, “Mengapakah perkara seperti ini harus berlaku kepadaku?” Oleh itu dia memohon petunjuk daripada TUHAN.

[23] TUHAN berfirman kepadanya, “Dua bangsa berada di dalam kandunganmu. Engkau akan melahirkan dua bangsa yang bermusuhan. Yang seorang lebih kuat daripada yang lain; yang sulung akan melayani yang bongsu.”

[24] Masanya tiba bagi Ribka untuk bersalin, lalu dia melahirkan anak lelaki kembar.

[25] Anak yang sulung kemerah-merahan dan kulitnya seperti jubah yang berbulu, maka anak itu dinamakannya Esau.

[26] Apabila anak yang kedua dilahirkan, tangannya memegang tumit Esau, maka anak itu dinamakannya Yakub. Ishak berumur enam puluh tahun ketika anak-anak itu dilahirkan.

[27] Kedua-dua orang anak itu membesar; Esau menjadi seorang pemburu yang mahir dan suka tinggal di padang, tetapi Yakub bersifat tenang dan suka tinggal di khemah.

[28] Ishak lebih sayang kepada Esau kerana dia suka makan daging binatang buruan, tetapi Ribka lebih sayang kepada Yakub.

[29] Pada suatu hari ketika Yakub sedang memasak bubur kacang merah, Esau pulang dari berburu. Esau berasa lapar,

[30] lalu berkata kepada Yakub, “Aku kelaparan; berilah aku sedikit kacang merah itu.” (Itulah sebabnya dia disebut Edom.)

[31] Yakub menjawab, “Aku akan memberikan kacang merah itu kepadamu, jika engkau menyerahkan hakmu sebagai anak sulung kepadaku.”

[32] Esau berkata, “Peduli apa hak itu bagiku. Aku lapar setengah mati!”

[33] Yakub menjawab, “Bersumpahlah dahulu bahawa kamu akan menyerahkan hakmu kepadaku.” Esau bersumpah dan menyerahkan haknya kepada Yakub.

[34] Kemudian Yakub memberikan roti dan sebahagian bubur kacang merah itu kepadanya. Esau makan dan minum, lalu pergi. Demikianlah Esau tidak menghargai haknya sebagai anak sulung.

Kejadian — Chapters