Skip to content
Opens in a new window

[1] Yakub menetap di negeri Kanaan. Dahulu bapanya Ishak, tinggal di negeri itu sebagai orang asing.

[2] Inilah kisah keluarga Yakub. Yusuf, anak Yakub yang berumur tujuh belas tahun, menjaga kawanan kambing dan domba bersama dengan saudara-saudaranya, iaitu anak-anak Bilha dan Zilpa, gundik bapanya. Yusuf memberikan laporan kepada bapanya tentang perbuatan jahat yang dilakukan oleh saudara-saudaranya itu.

[3] Yakub lebih sayang kepada Yusuf daripada semua anaknya yang lain, kerana Yusuf dilahirkan ketika Yakub sudah tua. Pada suatu hari Yakub membuat sehelai jubah yang sangat cantik

[4] Apabila saudara-saudara Yusuf nampak bapa mereka lebih menyayangi Yusuf, mereka membenci Yusuf sehingga tidak mahu bercakap baik-baik dengan dia lagi.

[5] Pada suatu malam Yusuf bermimpi. Apabila dia menceritakan mimpinya kepada saudara-saudaranya, mereka bertambah benci akan dia.

[6] Inilah yang dikatakan Yusuf kepada mereka, “Cuba dengar mimpiku.

[7] Aku bermimpi kita semua berada di ladang dan sedang memberkas gandum, lalu berkas gandumku berdiri tegak. Kemudian berkas-berkas gandum kamu mengelilingi berkas gandumku, lalu sujud kepada berkas gandumku itu.”

[8] Lalu saudara-saudara Yusuf berkata kepadanya, “Kaufikir engkau akan menjadi raja dan berkuasa atas kami?” Oleh itu mereka semakin membenci Yusuf kerana mimpi dan kata-katanya.

[9] Kemudian Yusuf bermimpi lagi. Dia berkata kepada saudara-saudaranya, “Aku bermimpi lagi. Aku nampak matahari, bulan, dan sebelas bintang sujud kepadaku.”

[10] Mimpi itu diceritakannya pula kepada bapanya. Lalu bapanya menegur dia, “Mimpi apakah itu? Kaufikir aku, ibumu, dan saudara-saudaramu akan datang dan sujud menyembah engkau?”

[11] Saudara-saudara Yusuf iri hati kepadanya tetapi bapanya tetap memikirkan mimpi itu.

[12] Pada suatu hari saudara-saudara Yusuf pergi ke Sikhem untuk menggembala ternakan bapa mereka.

[13] Yakub berkata kepada Yusuf, “Pergilah ke Sikhem, tempat saudara-saudaramu menggembala ternakan kita.” Yusuf menjawab, “Baiklah, ayah.”

[14] Bapanya berkata, “Lihatlah bagaimana keadaan saudara-saudaramu dan ternakan itu; kemudian baliklah dan beritahulah aku.” Demikianlah Yakub menyuruh Yusuf pergi dari Lembah Hebron. Tidak lama kemudian Yusuf sampai di Sikhem.

[15] Semasa dia berjalan ke sana ke mari di padang, dia bertemu dengan seorang lelaki. Lelaki itu bertanya kepadanya, “Apakah yang kamu cari?”

[16] “Saya mencari saudara-saudara saya yang sedang menggembala ternakan,” jawab Yusuf. “Tolong beritahu saya di mana mereka berada.”

[17] Orang itu berkata, “Mereka sudah pergi dari sini. Saya mendengar mereka berkata hendak pergi ke Dotan.” Oleh itu Yusuf berangkat untuk menyusul saudara-saudaranya. Dia menjumpai mereka di Dotan.

[18] Dari jauh mereka nampak Yusuf, dan sebelum dia sampai kepada mereka, mereka berkomplot membunuh dia.

[19] Mereka berkata satu sama lain, “Itu dia si tukang mimpi datang.

[20] Marilah kita bunuh dia dan campakkan mayatnya ke dalam perigi yang kering. Nanti kita katakan dia diterkam oleh binatang buas. Kita lihatlah apa akan berlaku dengan mimpi-mimpinya itu.”

[21] Ruben mendengar rancangan mereka, lalu dia berusaha untuk menyelamatkan Yusuf. “Jangan bunuh dia,” katanya.

[22] “Campakkan dia ke dalam perigi di padang gurun ini, tetapi jangan cederakan dia.” Ruben berkata begitu kerana dia bermaksud menyelamatkan Yusuf dan menyuruh dia pulang kepada bapanya.

[23] Apabila Yusuf sampai kepada saudara-saudaranya, dengan kasar mereka menanggalkan jubah Yusuf yang sangat cantik itu.

[24] Kemudian mereka menyeret Yusuf dan mencampakkan dia ke dalam perigi yang kering.

[25] Ketika mereka sedang makan, tiba-tiba mereka nampak kafilah orang Ismael dari Gilead yang sedang dalam perjalanan ke Mesir. Unta-unta mereka mengangkut rempah-rempah dan damar.

[26] Yehuda berkata kepada saudara-saudaranya, “Apakah keuntungannya membunuh adik kita dan merahsiakan pembunuhan itu?

[27] Mari kita jual dia kepada orang Ismael itu. Tidak usah kita sakiti dia. Bagaimanapun dia tetap adik kita.” Saudara-saudaranya bersetuju.

[28] Apabila beberapa orang pedagang Midian lalu, Yusuf dikeluarkan oleh saudara-saudaranya dari perigi. Kemudian mereka menjual dia kepada orang Ismael itu dengan harga dua puluh keping wang perak. Yusuf dibawa oleh pedagang-pedagang itu ke Mesir.

[29] Apabila Ruben kembali ke perigi itu dan tidak menjumpai Yusuf di situ, dia mengoyakkan pakaiannya kerana sedih.

[30] Dia balik kepada saudara-saudaranya dan berkata, “Anak itu tiada lagi di situ! Apakah yang harus aku lakukan sekarang?”

[31] Kemudian mereka menyembelih seekor kambing dan mencelupkan jubah Yusuf ke dalam darah kambing itu.

[32] Mereka membawa jubah itu kepada bapa mereka dan berkata, “Kami menjumpai jubah ini. Adakah jubah ini kepunyaan anak ayah?”

[33] Yakub mengenali jubah itu, lalu berkata, “Benar, ini jubah anakku! Dia sudah diterkam binatang buas. Aduhai, anakku Yusuf sudah mati dicarik-carik binatang!”

[34] Yakub mengoyakkan pakaiannya kerana sedih lalu memakai kain guni. Dia meratapi anaknya itu berhari-hari lamanya.

[35] Semua anak Yakub, baik lelaki mahupun perempuan datang menghibur dia, tetapi dia tidak mahu dihibur. Yakub berkata, “Aku tidak akan berhenti berkabung bagi anakku sehingga aku mati.” Demikianlah dia terus-menerus berkabung bagi anaknya Yusuf.

[36] Sementara itu, di Mesir, orang Midian sudah menjual Yusuf kepada Potifar, seorang pegawai raja yang menjadi ketua pengawal istana.

Kejadian — Chapters