[1] Apabila manusia sudah bertambah banyak sehingga tercerai-cerai di seluruh dunia, dan anak-anak perempuan dilahirkan,
[2] makhluk-makhluk ilahi nampak bahawa gadis-gadis itu cantik. Makhluk-makhluk ilahi itu mengahwini gadis-gadis yang disukai oleh mereka.
[3] Kemudian TUHAN berfirman, “Aku tidak membenarkan manusia hidup selama-lamanya; mereka makhluk fana yang harus mati. Mulai sekarang umur mereka tidak akan lebih daripada 120 tahun.”
[4] Pada zaman itu, dan juga selepas zaman itu, ada raksasa di bumi. Mereka keturunan gadis-gadis manusia yang berkahwin dengan makhluk-makhluk ilahi. Raksasa-raksasa itu pahlawan handalan dan termasyhur pada zaman dahulu kala.
[5] TUHAN nampak betapa jahatnya manusia di bumi; fikiran mereka sentiasa dipenuhi kejahatan.
[6] Oleh itu TUHAN menyesal kerana sudah menjadikan manusia dan menempatkan mereka di bumi. TUHAN begitu kecewa
[7] sehingga Dia berfirman, “Aku akan membinasakan manusia yang sudah Kuciptakan itu, dan juga semua binatang serta burung, kerana Aku menyesal menciptakan semuanya.”
[8] Tetapi Nuh menyenangkan hati TUHAN.
[9] Inilah riwayat Nuh. Dia mempunyai tiga orang anak lelaki, iaitu Sem, Yafet, dan Ham. Nuh tidak berbuat salah, dan dia satu-satunya orang yang baik pada zamannya. Dia hidup akrab dengan Allah,
[11] tetapi semua orang lain jahat di sisi Allah, dan kekejaman terdapat di mana-mana.
[12] Allah memandang dunia dan nampak kejahatan sahaja, kerana kehidupan semua manusia jahat.
[13] Kemudian Allah berfirman kepada Nuh, “Aku sudah mengambil keputusan untuk menamatkan hidup semua manusia. Aku akan membinasakan mereka berserta bumi, kerana bumi sudah penuh dengan kekejaman mereka.
[14] Binalah sebuah bahtera untukmu; sebuah bahtera daripada kayu keras. Buatlah bilik-bilik di dalamnya, dan lapisilah bahagian dalam dan luar bahtera itu dengan tar.
[15] Bahtera itu harus berukuran 133 meter panjang, 22 meter lebar, dan 13 meter tinggi.
[16] Buatlah bumbung pada bahtera itu, dan berilah jarak 44 sentimeter di antara bumbung dan dindingnya. Buatlah bahtera itu bertingkat tiga, dan pasanglah sebuah pintu di sisinya.
[17] Aku akan mendatangkan banjir untuk membinasakan setiap makhluk yang hidup di bumi. Segala sesuatu di bumi akan mati,
[18] tetapi Aku hendak membuat perjanjian dengan engkau. Masuklah ke dalam bahtera itu bersama-sama isterimu, anak-anakmu serta isteri-isteri mereka.
[19] Bawalah seekor jantan dan seekor betina daripada setiap jenis burung dan binatang darat, yang kecil mahupun yang besar, supaya semua itu tidak turut binasa.
[21] Bawalah juga segala jenis makanan untukmu dan untuk semua binatang itu.”
[22] Nuh melakukan segala sesuatu yang diperintahkan Allah.