Skip to content
Opens in a new window

[1] Selepas itu, Abram mendapat penglihatan dan mendengar TUHAN berfirman kepadanya, “Jangan takut, Abram. Aku akan melindungi engkau daripada bahaya dan memberikan pahala yang besar kepadamu.”

[2] Tetapi Abram berkata, “Ya TUHAN Raja, apakah gunanya pahala itu bagiku kerana aku tidak mempunyai anak? Orang yang akan mewarisi hartaku hanya Eliezer, hambaku dari Damsyik.

[3] Engkau tidak mengurniakan anak kepadaku. Oleh itu yang mewarisi hartaku hanya seorang daripada hambaku.”

[4] Kemudian Abram mendengar TUHAN berfirman lagi kepadanya, “Hamba itu tidak akan mewarisi hartamu, melainkan anak lelakimu sendiri.”

[5] TUHAN membawa Abram ke luar lalu berfirman, “Pandanglah ke langit dan cubalah hitung bintang; engkau akan mempunyai keturunan sebanyak bintang.”

[6] Abram percaya kepada TUHAN, maka TUHAN berkenan kepadanya.

[7] Kemudian TUHAN berfirman lagi kepada Abram, “Akulah TUHAN yang sudah memimpin engkau keluar dari Ur di negeri Babilonia, untuk memberikan tanah ini kepadamu supaya menjadi milikmu.”

[8] Tetapi Abram bertanya, “Ya TUHAN Raja, bagaimana aku dapat mengetahui bahawa tanah ini akan menjadi milikku?”

[9] TUHAN menjawab, “Ambillah seekor lembu betina, seekor kambing betina, dan seekor domba jantan untuk-Ku. Setiap satunya harus berumur tiga tahun, dan ambil juga seekor burung merpati, serta seekor burung tekukur.”

[10] Kemudian Abram mengambil semuanya bagi Allah. Abram membelah lembu, kambing, dan domba itu. Dia meletakkan belahan-belahan binatang itu pada dua barisan, setiap belahan menghadap satu sama lain, tetapi dia tidak membelah burung.

[11] Burung-burung pemakan bangkai hinggap atas daging binatang itu, tetapi Abram menghalau semuanya.

[12] Ketika matahari mulai terbenam, Abram tidur lena, lalu perasaan takut dan ngeri meliputi dirinya.

[13] TUHAN berfirman kepadanya, “Keturunanmu akan menjadi orang asing di negeri lain; mereka akan menjadi hamba di sana dan akan ditindas selama empat ratus tahun.

[14] Tetapi Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba keturunanmu itu. Apabila keturunanmu meninggalkan negeri itu, mereka akan membawa banyak harta benda.

[15] Engkau sendiri akan lanjut usia; engkau akan meninggal dengan tenang, lalu dikebumikan.

[16] Selepas empat generasi, keturunanmu akan kembali ke sini, kerana Aku tidak akan mengusir orang Amori sebelum mereka menjadi terlalu jahat sehingga harus dihukum.”

[17] Setelah matahari terbenam dan hari sudah gelap, tiba-tiba sebuah dapur arang yang berasap dan obor yang bernyala, lalu di antara belahan-belahan binatang itu.

[18] Pada masa itu juga TUHAN membuat perjanjian dengan Abram. TUHAN berfirman, “Aku berjanji akan memberikan seluruh tanah ini kepada keturunanmu, mulai dari sempadan negeri Mesir hingga Sungai Efrat,

[19] termasuk juga tanah orang Keni, Kenas, Kadmon,

[20] Het, Feris, Refaim,

[21] Amori, Kanaan, Girgasi, dan Yebusi.”

Kejadian — Chapters