Skip to content
Opens in a new window

[1] Pada hari kelima bulan keempat dalam tahun ketiga puluh, aku, Imam Yehezkiel anak Busi, berada di tepi Sungai Kebar di Babilonia bersama-sama orang buangan Yahudi. Ketika itu langit terbuka dan aku mendapat suatu penglihatan tentang Allah. (

[2] Hal itu berlaku lima tahun selepas Raja Yoyakhin dibuang negeri.)

[3] Di negeri Babilonia, di tepi Sungai Kebar, aku mendengar TUHAN berfirman kepadaku, dan aku merasa kuasa-Nya.

[4] Aku menengadah dan melihat angin ribut datang dari utara. Kilat sambar-menyambar dari awan yang amat besar, dan langit di sekelilingnya terang-benderang. Ketika kilat itu sambar-menyambar, terlihat sesuatu yang bersinar-sinar seperti gangsa.

[5] Di tengah-tengah angin ribut itu aku nampak juga empat kerub, iaitu makhluk yang menyerupai manusia,

[6] tetapi setiap makhluk mempunyai empat muka dan empat sayap.

[7] Kaki makhluk itu lurus, berkuku seperti kuku anak lembu dan bersinar-sinar seperti gangsa yang digilap.

[8] Selain empat muka dan empat sayap itu, setiap makhluk mempunyai empat tangan yang seperti tangan manusia, satu tangan di bawah setiap sayap.

[9] Dua sayap daripada setiap makhluk itu terkembang dan hujungnya bersentuhan dengan sayap makhluk yang lain sehingga keempat-empat makhluk itu membentuk segi empat. Apabila bergerak, makhluk-makhluk itu bergerak lurus ke hadapan tanpa memusingkan badan.

[10] Setiap makhluk itu mempunyai empat muka yang berlainan: muka manusia di bahagian hadapan, muka singa di sebelah kanan, muka lembu di sebelah kiri, dan muka helang di bahagian belakang.

[11] Dua sayap daripada setiap makhluk itu terbentang tinggi sehingga menyentuh hujung sayap makhluk yang di sebelahnya. Dua sayap lain terlipat menutupi badan setiap makhluk.

[12] Setiap makhluk menghadap empat arah agar dapat menuju ke arah mana sahaja menurut kehendak makhluk-makhluk tanpa memusingkan badan.

[13] Antara makhluk itu terdapat sesuatu yang berupa suluh yang bernyala. Suluh itu sentiasa bergerak. Apinya menyala dan memancarkan kilat.

[14] Makhluk-makhluk itu terbang berulang-alik secepat kilat.

[15] Sedang aku melihat empat makhluk itu, aku nampak pula empat buah roda di atas tanah, sebuah roda di samping setiap makhluk.

[16] Keempat-empat roda itu sama rupanya dan berkilauan seperti batu permata, dan setiap roda mempunyai sebuah roda lain yang melintang di tengah-tengahnya.

[17] Dengan demikian keempat-empat roda itu dapat bergerak ke empat arah.

[18] Bingkai roda penuh dengan mata.

[19] Apabila makhluk-makhluk itu bergerak, roda pun ikut bergerak. Jika makhluk-makhluk itu naik ke udara, roda pun ikut sama.

[20] Makhluk-makhluk itu pergi ke mana sahaja menurut kehendak makhluk-makhluk, dan roda selalu ikut kerana dikuasai oleh makhluk-makhluk itu.

[21] Oleh itu setiap kali makhluk-makhluk itu bergerak atau berhenti atau naik ke udara, roda pun ikut sama.

[22] Di atas kepala makhluk-makhluk itu, ada sesuatu yang rupanya seperti kubah yang dibuat daripada kristal yang berkilau-kilauan.

[23] Di bawah kubah itu makhluk-makhluk itu berdiri, sambil merentangkan dua sayap ke arah makhluk yang di sebelahnya, sedangkan dua sayap lagi menutupi badan.

[24] Apabila makhluk-makhluk itu terbang, aku mendengar bunyi kepakan sayap. Bunyi itu seperti deru air terjun, seperti derap langkah pasukan tentera yang besar, dan seperti suara Allah Yang Maha Kuasa. Makhluk-makhluk itu melipat sayap apabila berhenti terbang,

[25] tetapi bunyi masih kedengaran dari kubah yang di atas kepala makhluk-makhluk itu.

[26] Di atas kubah itu pula ada sesuatu yang kelihatan seperti takhta yang dibuat daripada batu nilam. Sesuatu yang seperti manusia duduk di atas takhta itu.

[27] Dari pinggangnya ke atas kelihatan bersinar-sinar seperti gangsa di tengah nyala api, dan dari pinggangnya ke bawah kelihatan seperti api. Sinaran itu terang-benderang

[28] dengan warna-warna pelangi. Cahaya berkilauan itu menunjukkan hadirat TUHAN.

Yehezkiel — Chapters