Skip to content
Opens in a new window

[1] TUHAN berfirman kepadaku,

[2] “Hai manusia fana, nyanyikanlah lagu ratapan bagi Tirus,

[3] kota di tepi pantai yang berniaga dengan penduduk segala pantai. Beritahukanlah firman TUHAN Raja: Hai Tirus, dengan sombong kamu mengatakan, ‘Keindahanku sungguh sempurna.’

[4] Bagimu lautan bagaikan rumah. Pembinamu membuat kamu seperti kapal indah.

[5] Dindingmu daripada kayu sipres dari Gunung Hermon, tiangmu daripada kayu sedar dari Lebanon.

[6] Dayung-dayungmu dibuat daripada pokok oak dari Basan. Geladakmu dibuat daripada kayu pain dari Siprus, dan hiasanmu tatahan gading.

[7] Layar yang menjadi lambangmu dibuat daripada linen buatan Mesir, dengan aneka sulaman. Kajangmu dibuat daripada kain halus, kain yang berwarna ungu dari Siprus.

[8] Pendayungmu orang dari Sidon dan Arwad. Anak buahmu sendiri pelaut-pelaut yang cekap.

[9] Tukang kayu yang membina kapalmu itu tukang-tukang yang mahir dari Gebal. Pelaut dari setiap kapal datang ke kedai-kedaimu untuk berdagang.

[10] Askar dari Persia, Lidia, dan Libia berkhidmat dalam angkatan perangmu. Mereka menggantung perisai dan topi besi mereka pada tembok-tembok kotamu. Mereka menjadikan kamu masyhur.

[11] Askar dari Arwad mengawal tembokmu, dan orang dari Gamad mengawal menaramu. Mereka menggantung perisai mereka pada tembokmu, dan menyempurnakan keindahanmu.

[12] Kamu berniaga di Sepanyol dan menerima perak, besi, timah putih, dan timah hitam sebagai tukaran bayaran baranganmu yang banyak itu.

[13] Kamu berniaga di Yunani, Tubal, dan Mesekh, dan mendapat hamba dan barangan gangsa sebagai tukaran baranganmu.

[14] Kamu juga menerima kereta kuda, kuda tunggangan, dan baghal dari Bet-Togarma sebagai tukaran baranganmu.

[15] Orang Rodes pun berniaga dengan kamu; penduduk di banyak kawasan pantai membeli baranganmu dan membayar dengan gading dan kayu hitam.

[16] Orang Siria membeli baranganmu dan membayar dengan batu zamrud, kain ungu, kain bersulam, kain linen halus, batu karang, dan batu delima.

[17] Yehuda dan Israel membeli baranganmu dan membayar dengan gandum, madu, minyak zaitun, dan rempah-ratus.

[18] Penduduk Damsyik membeli barang dagangan dan hasil-hasilmu dan membayar dengan wain dari Helbon, bulu domba dari Sahar, besi tempa, dan rempah-rempah.

[20] Penduduk Dedan membayar baranganmu dengan kain alas pelana.

[21] Orang Arab dan para penguasa Kedar membayar baranganmu dengan kambing, domba jantan, dan anak domba.

[22] Pedagang dari Syeba dan Raema membayar baranganmu dengan batu permata, emas, dan rempah yang terbaik.

[23] Kota-kota Haran, Kane, Eden, pedagang-pedagang dari Syeba, kota-kota Asyur dan Kilmad, semuanya berniaga dengan kamu.

[24] Mereka menjual pakaian mewah, kain ungu, kain sulam, permaidani yang berwarna-warni, dan tali-temali yang kuat.

[25] Barang daganganmu dibawa dengan kapal-kapal yang paling besar. Kamu bagaikan kapal di laut, penuh dengan muatan berat.

[26] Ketika pendayungmu membawa kamu belayar, angin timur melanda kamu di tengah lautan.

[27] Segala barang daganganmu, semua pelaut dan anak buahmu, tukang kayu dan kaum pedagangmu, dan setiap askar dalam kapalmu, semuanya hilang tenggelam apabila kapalmu karam.

[28] Jeritan pelaut yang tenggelam terdengar sampai ke pantai.

[29] Kini setiap kapal ditinggalkan, setiap pelaut telah naik ke darat.

[30] Mereka meratapi kamu dengan pilu, mereka menaburkan debu pada kepala dan berguling dalam abu kerana duka.

[31] Mereka mencukur rambut kerana kamu, dan memakai kain guni tanda sedih. Mereka meratap dengan hati pilu.

[32] Mereka menyanyikan lagu ratapan bagimu, ‘Tirus, siapakah tandinganmu? Tirus, di laut kini kamu membisu.

[33] Apabila kaum pedagangmu belayar ke seberang laut, kamu mencukupi keperluan setiap bangsa. Raja-raja menjadi kaya kerana baranganmu yang berharga.

[34] Tetapi kini kamu sudah hancur, dan tenggelam ke dasar lautan. Baranganmu dan semua anak buahmu hilang bersama-sama kamu di lautan.’

[35] Semua orang yang tinggal di sepanjang pantai terperanjat mendengar kesudahanmu. Bahkan raja-raja mereka pun sangat takut; kengerian nampak pada wajah mereka.

[36] Kamu hilang dan lenyap selama-lamanya. Pedagang di seluruh dunia gerun kalau-kalau mereka juga mengalami kesudahanmu.”

Yehezkiel — Chapters