[1] TUHAN berfirman kepadaku,
[2] “Hai manusia fana, kecamlah raja-raja Israel. Bernubuatlah dan sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka, ‘Alangkah malangnya kamu, hai gembala-gembala Israel. Kamu hanya menjaga kepentingan diri sendiri dan bukan kepentingan domba-domba.
[3] Kamu minum susu domba, memakai pakaian daripada bulu domba, menyembelih dan makan domba yang terbaik, tetapi kamu tidak pernah menggembalakan domba-domba itu.
[4] Kamu tidak merawat yang lemah, atau mengubati yang sakit, atau membalut yang luka, atau membawa pulang yang sesat atau mencari yang hilang. Sebaliknya kamu memperlakukan semua domba itu dengan kejam.
[5] Kerana tidak mempunyai gembala, domba-domba itu tercerai-cerai dan menjadi mangsa binatang buas.
[6] Maka domba-domba-Ku mengembara ke bukit dan gunung, tercerai-cerai di muka bumi. Tidak seorang pun mencari atau berusaha untuk mendapatkan domba-domba itu.
[7] Hai gembala-gembala, dengarlah apa yang Aku, TUHAN firmankan.
[8] Demi Aku, Allah yang hidup, dengarlah firman-Ku. Domba-domba-Ku telah diterkam dan dibunuh, serta dimakan binatang buas kerana tiada gembala yang menjaga domba-domba itu. Kamu, gembala-gembala-Ku tidak berusaha untuk mencari domba-domba itu. Kamu menjaga kepentingan diri sendiri, bukan kepentingan domba-domba-Ku.
[9] Oleh itu dengarlah Aku, hai kamu para gembala.
[10] Aku, TUHAN Raja, mengumumkan bahawa Aku musuh kamu. Aku akan mengambil domba-domba-Ku daripada kamu, dan tidak lagi mempercayakan domba-domba itu kepada kamu. Aku tidak lagi membenarkan kamu menjaga kepentingan diri kamu sahaja. Aku akan menyelamatkan domba-domba itu supaya tidak menjadi makanan kamu.’ ”
[11] TUHAN Raja berfirman, “Aku sendiri akan mencari umat Israel, domba-domba-Ku, dan memelihara mereka,
[12] seperti seorang gembala mencari dan mengumpulkan domba-dombanya yang tercerai-cerai. Aku akan mengumpulkan mereka dari tempat mereka tercerai-cerai pada malam yang gelap dan nahas itu.
[13] Aku akan mengeluarkan mereka dari negeri-negeri asing dan mengumpulkan mereka, lalu membawa mereka pulang ke tanah air mereka. Aku akan membawa mereka balik ke gunung-gunung dan lembah-lembah di Israel. Aku akan memberi mereka makan di padang-padang rumput yang subur.
[14] Aku akan membiarkan mereka merumput dengan tenteram di padang hijau. Aku akan membolehkan mereka makan di padang rumput di gunung, di lembah, dan di padang rumput yang hijau di Israel.
[15] Aku sendiri akan menggembalakan domba-domba-Ku. Aku akan mencari tempat berehat bagi mereka. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
[16] Aku akan mencari mereka yang hilang, membawa pulang mereka yang sesat, membalut mereka yang luka, dan mengubati mereka yang sakit; tetapi mereka yang gemuk dan kuat akan Kubinasakan, kerana Aku gembala yang melakukan apa yang adil.
[17] Dengarlah, hai domba-domba-Ku. Aku, TUHAN Raja, memberitahu kamu bahawa Aku akan mengadili kamu masing-masing, dan memisahkan yang baik daripada yang jahat, domba daripada kambing.
[18] Di kalangan kamu ada yang tidak puas hati hanya dengan memakan rumput yang terbaik, tetapi juga memijak-mijak rumput yang tidak dimakan mereka! Mereka minum air jernih, lalu mengeruhkan air yang tidak diminum mereka.
[19] Domba-domba-Ku yang lain terpaksa makan rumput yang telah dipijak-pijak, dan minum air yang telah dikeruhkan.
[20] Oleh itu Aku, TUHAN Raja, memberitahu kamu bahawa Aku akan menjadi hakim antara domba yang kuat dengan domba yang lemah.
[21] Kamu menanduk dan menolak domba yang sakit sehingga mereka terhalau daripada kawanan domba.
[22] Tetapi Aku akan menyelamatkan domba-domba-Ku dan tidak akan membiarkan mereka diperlakukan dengan kejam lagi. Aku akan menghakimi setiap domba-Ku dan memisahkan yang baik daripada yang jahat.
[23] Aku akan melantik seorang raja seperti Daud, hamba-Ku, untuk menjadi satu-satunya gembala mereka, dan dia akan memelihara mereka.
[24] Aku, TUHAN, akan menjadi Allah mereka; dan seorang raja seperti Daud, hamba-Ku, akan menjadi penguasa mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.
[25] Aku akan membuat perjanjian dengan mereka yang menjamin keselamatan mereka. Aku akan mengusir semua binatang buas dari negeri itu, supaya domba-domba-Ku dapat hidup dengan aman di padang dan tidur di hutan.
[26] Aku akan memberkati mereka dan membenarkan mereka hidup di sekeliling bukit-Ku yang suci. Di sana Aku akan memberkati mereka dengan hujan manakala mereka memerlukannya.
[27] Pokok akan berbuah, ladang akan mengeluarkan hasil, dan setiap orang akan tinggal dengan aman di tanahnya sendiri. Apabila Aku memutuskan belenggu umat-Ku dan membebaskan mereka daripada bangsa yang memperhamba mereka, barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.
[28] Bangsa-bangsa yang tidak mengenal Aku tidak akan menjarah umat-Ku lagi, dan binatang buas pun tidak akan membunuh dan memakan mereka. Mereka akan hidup dengan aman, dan tiada sesiapa pun akan menakutkan mereka.
[29] Aku akan memberi mereka tanah yang subur serta menghapuskan kelaparan di negeri itu. Bangsa lain tidak akan mengolok-olokkan mereka lagi.
[30] Semua orang akan tahu bahawa Aku melindungi Israel, dan bahawa mereka umat-Ku. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
[31] Hai kawanan domba yang Aku beri makan. Kamulah umat-Ku dan Akulah Allah kamu.” Demikianlah firman TUHAN Raja.