Skip to content
Opens in a new window

[1] Aku memandang ke kubah yang ada di atas kepala kerub-kerub itu dan nampak sesuatu seperti takhta yang dibuat daripada batu nilam.

[2] Allah berfirman kepada orang yang berpakaian linen itu, “Pergilah ke antara roda-roda di bawah kerub-kerub itu dan ambillah segenggam bara api dengan tanganmu. Lalu hamburkanlah bara itu di atas seluruh kota.” Aku memperhatikan dia pergi.

[3] Ketika dia masuk, kerub-kerub itu sedang berdiri di bahagian selatan Rumah TUHAN, dan halaman dalam dipenuhi awan.

[4] Cahaya berkilauan, yang menandakan hadirat TUHAN naik dari kerub-kerub itu dan bergerak ke pintu masuk Rumah TUHAN. Kemudian awan memenuhi Rumah TUHAN, dan halaman itu menjadi terang benderang.

[5] Bunyi kepakan sayap kerub-kerub itu terdengar sampai ke halaman luar. Bunyi itu seperti suara Allah Yang Maha Kuasa.

[6] Apabila TUHAN memerintah orang yang berpakaian linen itu mengambil api dari antara roda-roda yang di bawah kerub-kerub itu, dia masuk dan berdiri di tepi salah sebuah roda itu.

[7] Salah satu kerub itu memasukkan tangannya ke dalam api yang ada di tengah-tengah kerub-kerub lalu memungut beberapa potong bara dan meletakkannya di dalam tangan orang yang berpakaian linen itu. Orang itu pun menyambut bara itu lalu pergi.

[8] Aku nampak setiap kerub itu mempunyai sesuatu yang seperti tangan manusia di bawah setiap sayapnya.

[9] Aku juga nampak bahawa di samping setiap kerub itu ada sebuah roda. Keempat-empat roda itu serupa dan bersinar-sinar seperti batu permata. Setiap roda mempunyai sebuah lagi roda yang melintang di tengah-tengahnya.

[11] Dengan demikian kerub-kerub itu dapat bergerak ke mana-mana arah tanpa berpusing. Semua kerub itu bergerak bersama-sama ke arah yang ditujui tanpa berpusing.

[12] Seluruh badan, belakang, tangan, sayap, dan roda penuh dengan mata.

[13] Roda itu sama dengan roda yang aku nampak dalam penglihatan yang pertama.

[14] Setiap kerub mempunyai empat muka yang berlainan: yang pertama muka lembu, yang kedua muka manusia, yang ketiga muka singa, dan yang keempat muka helang.

[15] Kerub-kerub itulah yang aku nampak dahulu di tebing Sungai Kebar. Apabila kerub-kerub itu naik ke udara

[16] dan bergerak, roda-roda itu ikut sama. Apabila kerub-kerub itu mengembangkan sayap untuk terbang, roda-roda itu pun ikut.

[17] Apabila kerub-kerub itu berhenti atau terbang, roda-roda itu pun ikut kerana dikuasai oleh kerub-kerub itu.

[18] Kemudian cahaya berkilauan yang menandakan hadirat TUHAN, meninggalkan pintu masuk Rumah TUHAN dan pindah ke atas kerub-kerub itu.

[19] Kerub-kerub itu mengembangkan sayap lalu terbang dari muka bumi sedang aku memandang, dan roda-roda pun ikut. Kerub-kerub itu berhenti sebentar di pintu gerbang timur Rumah TUHAN, dan cahaya yang berkilauan itu tetap di atas kerub-kerub itu.

[20] Aku mengenali semua kerub itu sebagai kerub-kerub yang ada di bawah Allah Israel, yang telah aku nampak di tebing Sungai Kebar.

[21] Setiap kerub itu mempunyai empat muka, empat sayap, dan sesuatu seperti tangan manusia di bawah setiap sayapnya.

[22] Muka kerub-kerub itu serupa dengan muka yang aku nampak di tepi Sungai Kebar. Setiap kerub bergerak lurus ke hadapan.

Yehezkiel — Chapters