Skip to content
Opens in a new window

[1] Ingatlah, ya TUHAN, akan apa yang telah berlaku kepada kami. Pandanglah kami, lihatlah kehinaan kami.

[2] Harta warisan kami telah dirampas orang lain; orang asing sedang menduduki rumah kami.

[3] Bapa kami dibunuh oleh musuh, dan kini ibu kami menjadi balu.

[4] Kami terpaksa membeli air minum dan kayu untuk bahan api.

[5] Kami dipaksa bekerja berat seperti binatang; kami lelah, namun tidak diberikan masa rehat.

[6] Kami mengemis di Mesir dan Asyur, kami meminta makanan untuk terus hidup.

[7] Nenek moyang kami berdosa, dan kini sudah tiada; tetapi kami mesti menderita, kerana dosa-dosa mereka.

[8] Kami diperintah oleh orang yang sama seperti hamba, dan tiada orang yang berkuasa melepaskan kami daripada mereka.

[9] Pembunuh merayau-rayau di luar kota, nyawa kami terancam ketika mencari makanan.

[10] Kami demam kerana kelaparan, badan kami panas seperti ketuhar.

[11] Isteri kami diperkosa di Bukit Sion, gadis-gadis kami dicabuli di setiap kota di Yehuda.

[12] Para pemimpin kami ditangkap dan digantung, orang tua kami tidak dihormati lagi.

[13] Pemuda kami dipaksa mengisar gandum seperti abdi, anak lelaki tertindih pikulan kayu sehingga terhuyung-hayang.

[14] Orang tua tidak lagi berkumpul di pintu gerbang kota, kaum pemuda tidak lagi bermain muzik.

[15] Kegembiraan sudah lenyap dalam kehidupan kami, tarian telah berubah menjadi perkabungan.

[16] Hal yang kami bangga-banggakan sudah tiada. Kini kami dihukum kerana berdosa.

[17] Kami berasa amat sedih, air mata kami bercucuran sehingga penglihatan kami kabur,

[18] kerana Bukit Sion lengang dan terbiar, anjing hutan berkeliaran di runtuhannya.

[19] Tetapi Engkau, ya TUHAN, raja selama-lamanya, Engkau memerintah sepanjang masa.

[20] Mengapakah Engkau meninggalkan kami sedemikian lama? Tidakkah Engkau mahu mengingat kami lagi?

[21] Ya TUHAN, bawalah kami kembali kepada-Mu; bawalah kami balik kepada-Mu! Pulihkanlah kegemilangan kami seperti dahulu.

[22] Adakah Engkau membuang kami sama sekali? Tidak terbataskah kemurkaan-Mu terhadap kami?

Ratapan — Chapters