[1] TUHAN menyuruh aku menyanyikan lagu ratapan ini bagi dua orang putera Israel:
[2] Ibu kamu bagaikan singa betina yang sangat berani. Dia membesarkan anak-anaknya antara singa-singa jantan yang ganas.
[3] Dia membesarkan seekor anak dan mengajarnya berburu; lalu anak itu menjadi pemakan manusia.
[4] Bangsa-bangsa mendengar tentang anak itu, lalu mereka memerangkapnya di dalam lubang. Mereka menyeretnya dengan kait dan membawanya ke negeri Mesir.
[5] Si ibu menanti kepulangan anaknya, tetapi harapannya sia-sia sahaja. Kemudian dia melatih seekor anak lagi, dan anak itu menjadi singa yang ganas.
[6] Anak itu menjadi dewasa dan bergaul dengan singa-singa jantan yang lain. Dia juga belajar berburu dan menjadi pemakan manusia.
[7] Dia merobohkan kubu dan merosakkan kota. Penduduk negeri ketakutan setiap kali dia mengaum.
[8] Bangsa-bangsa bangkit melawan dia; mereka datang dari segala tempat. Mereka memasang jaring untuk menangkapnya, lalu dia terjebak dalam perangkap mereka.
[9] Mereka memasukkan dia ke dalam kandang, dan membawa dia kepada raja Babilonia. Mereka mengawal dia supaya suaranya tidak kedengaran lagi di atas bukit-bukit Israel.
[10] Ibu kamu bagaikan pokok anggur yang ditanam di tepi anak sungai. Kerana banyak air di situ, pokok itu berbuah dan berdaun lebat.
[11] Carang-carangnya menjadi kuat sehingga menjadi tongkat kerajaan. Pokok itu menjulang tinggi ke awan, dan dikagumi semua orang kerana tinggi dan lebat daunnya.
[12] Tetapi orang yang marah mencabutnya, dan membuangnya ke tanah. Angin timur bertiup dan mengeringkan buahnya. Carangnya patah, menjadi kering lalu dibakar.
[13] Sekarang pokok itu ditanam di gurun, di tanah yang kering dan kersang.
[14] Batang pokok anggur itu dimakan api, carang dan buahnya terbakar. Carangnya tidak menjadi kuat lagi, tidak menjadi tongkat kerajaan lagi. Inilah lagu ratapan yang berulang-ulang dinyanyikan orang.