[1] Inilah keturunan Ruben, anak sulung Yakub. (Oleh sebab Ruben telah meniduri salah seorang gundik bapanya, maka dia kehilangan haknya sebagai anak sulung. Hak itu diberikan kepada Yusuf.
[2] Meskipun begitu, suku Yehuda menjadi suku yang terkuat, dan daripada suku itu seorang menjadi pemerintah seluruh suku Israel.)
[3] Ruben, anak sulung Yakub, mempunyai empat orang anak lelaki: Henokh, Palu, Hezron, dan Karmi.
[4] Inilah jurai keturunan Yoel: Semaya, Gog, Simei, Mikha, Reaya, Baal, dan Beera, seorang pemimpin suku Ruben. Beera ditangkap oleh Raja Tiglat-Pileser dari Asyur, lalu Beera dibuang negeri.
[7] Dalam catatan salasilah, tersenarai juga pemimpin-pemimpin puak dalam suku Ruben yang berikut: Yeiel, Zakharia,
[8] dan Bela anak Azas, cucu Sema daripada puak Yoel. Puak ini tinggal di Aroer dan di wilayah yang bermula dari Aroer ke sebelah utara di Nebo dan Baal-Meon.
[9] Mereka mempunyai banyak sekali ternakan di daerah Gilead. Oleh itu, mereka mendiami tanah di sebelah timur sampai ke padang gurun, yang terbentang hingga ke Sungai Efrat.
[10] Pada zaman Raja Saul, suku Ruben menyerang dan mengalahkan orang Hagri, lalu menduduki tanah mereka di bahagian timur Gilead.
[11] Suku Gad tinggal di sebelah utara wilayah suku Ruben, di tanah Basan, sampai sejauh Salkha di sebelah timur.
[12] Yoel ialah nenek moyang puak yang terkemuka dalam suku Gad; Safam ialah nenek moyang puak yang kedua pentingnya. Yaenai dan Safat ialah nenek moyang puak-puak lain di Basan.
[13] Orang lain dalam suku Gad termasuk dalam tujuh puak yang berikut: Mikhael, Mesulam, Syeba, Yorai, Yakan, Ziya, dan Eber.
[14] Mereka keturunan Abihail anak Huri. Yang berikut adalah salasilah mereka yang disusur sampai ke pangkal: Abihail, Huri, Yaroah, Gilead, Mikhael, Yesisai, Yahdo, Bus.
[15] Pemimpin puak-puak itu ialah Ahi anak Abdiel, cucu Guni.
[16] Puak-puak itu tinggal di wilayah Basan dan Gilead, dan di kota-kota di wilayah itu, serta di seluruh padang rumput Saron.
[17] Salasilah ini dikumpul pada zaman pemerintahan Raja Yotam di Yehuda, dan Raja Yerobeam II di Israel.
[18] Suku Ruben, suku Gad, dan suku Manasye Timur mempunyai 44,760 orang askar yang terlatih dan handal menggunakan perisai, pedang, dan busur.
[19] Mereka berperang dengan suku Yetur, Nafis, dan Nodab, iaitu suku-suku dalam bangsa Hagri.
[20] Askar-askar itu percaya kepada Allah dan minta tolong kepada-Nya, lalu Allah mengabulkan permintaan mereka. Dia memberikan kemenangan atas bangsa Hagri dan sekutu mereka kepada askar-askar itu.
[21] Mereka merampas sebanyak 50,000 ekor unta, 250,000 ekor domba, dan 2,000 ekor keldai daripada musuh, dan menawan seramai 100,000 orang.
[22] Mereka membunuh banyak orang musuh kerana peperangan itu berlaku menurut kehendak Allah. Kemudian mereka menetap di wilayah itu sampai masa mereka dibuang negeri.
[23] Orang daripada suku Manasye Timur menetap di wilayah Basan sampai ke utara sejauh Baal-Hermon, Senir, dan Gunung Hermon. Bilangan mereka bertambah banyak.
[24] Inilah para pemimpin puak mereka: Hefer, Yisei, Eliel, Azriel, Yeremia, Hodawya, dan Yahdiel. Mereka semua askar yang perkasa, serta pemimpin puak yang terkenal.
[25] Orang Israel tidak setia kepada Allah yang disembah nenek moyang mereka. Mereka meninggalkan Dia lalu menyembah dewa-dewa yang disembah bangsa-bangsa yang telah diusir oleh Allah dari tanah itu.
[26] Oleh sebab itu Allah menggerakkan hati Raja Pul dari Asyur untuk menyerang negeri mereka. Raja Pul juga dikenal sebagai Raja Tiglat-Pileser. Suku Ruben, suku Gad, dan suku Manasye Timur dibuang negeri ke Halah, Habor, Hara, dan ke suatu tempat dekat Sungai Gozan. Mereka menetap di sana sampai hari ini.