Skip to content
Opens in a new window

[1] Mereka meletakkan Tabut Perjanjian itu di dalam khemah yang telah disediakan oleh Raja Daud. Kemudian mereka mempersembahkan korban-korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban-korban untuk memohon berkat-Nya.

[2] Setelah Raja Daud selesai mempersembahkan korban-korban itu, baginda memberkati umat Israel dengan nama TUHAN,

[3] lalu membahagi-bahagikan makanan kepada mereka semua. Setiap orang yang ada di situ, baik lelaki mahupun perempuan diberi sebuku roti, sepotong daging panggang, dan seketul kuih kismis.

[4] Raja Daud melantik beberapa orang Lewi untuk memimpin upacara ibadat kepada TUHAN, Allah Israel, di hadapan Tabut Perjanjian. Mereka menyanyikan lagu kesyukuran dan puji-pujian kepada TUHAN.

[5] Asaf dilantik sebagai ketua dan Zakharia wakilnya. Yeiel, Semiramot, Yehiel, Matica, Eliab, Benaya, Obed-Edom, dan Yeiel ditugaskan untuk memainkan kecapi. Asaf ditugaskan untuk memainkan simbal,

[6] dan dua orang imam, iaitu Benaya dan Yahaziel, ditugaskan secara tetap untuk meniup trompet di hadapan Tabut Perjanjian.

[7] Itulah kali pertama Raja Daud menugaskan Asaf dan rakan-rakannya sesama orang Lewi untuk menyanyikan lagu puji-pujian kepada TUHAN.

[8] Bersyukurlah kepada TUHAN, isytiharkanlah keagungan-Nya. Ceritakanlah perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa.

[9] Nyanyikanlah lagu pujian kepada TUHAN, ceritakanlah segala perbuatan-Nya yang menakjubkan.

[10] Dialah TUHAN Yang Esa; bersukacitalah kerana kita milik-Nya; semua orang yang menyembah TUHAN hendaklah bersukacita!

[11] Mintalah pertolongan TUHAN; sembahlah Dia sentiasa.

[12] Hai keturunan Yakub, hamba Allah, hai keturunan Israel, umat pilihan Allah, ingatlah akan mukjizat yang dilakukan Allah, jangan lupakan keputusan yang diberikan-Nya.

[14] TUHAN ialah Allah kita; perintah-Nya untuk seluruh dunia.

[15] Jangan lupakan perjanjian-Nya yang berlaku untuk selama-lamanya,

[16] perjanjian yang dibuat-Nya dengan Abraham, dan janji-Nya dengan Ishak,

[17] lalu dikekalkan dengan Yakub, menjadi perjanjian abadi bagi umat Israel.

[18] Dia berfirman, “Aku akan memberi kamu negeri Kanaan, untuk menjadi milik pusaka kamu.”

[19] Dahulu umat Allah kecil bilangannya, mereka hidup sebagai orang asing di negeri Kanaan.

[20] Mereka mengembara dari negeri ke negeri, dari sebuah kerajaan ke sebuah kerajaan.

[21] Tetapi Allah tidak membiarkan sesiapa pun menindas mereka, kerana mereka, Dia memberikan amaran kepada raja-raja.

[22] Dia berfirman, “Jangan ganggu hamba-hamba pilihan-Ku; jangan cederakan nabi-nabi-Ku!”

[23] Nyanyikanlah lagu untuk TUHAN, hai segenap bumi! Pada setiap hari siarkanlah berita baik bahawa Dia telah menyelamatkan kita.

[24] Isytiharkanlah keagungan-Nya kepada bangsa-bangsa, dan perbuatan-Nya yang mengagumkan umat manusia.

[25] TUHAN itu agung, dan mesti dipuji setinggi-tingginya; Dia mesti dihormati lebih daripada semua dewa.

[26] Dewa-dewa bangsa lain hanya patung berhala, tetapi TUHAN mencipta angkasa raya.

[27] Kemuliaan dan keagungan mengelilingi Dia, tempat kediaman-Nya dipenuhi kuasa dan kegembiraan.

[28] Hai semua orang di bumi, pujilah TUHAN! Pujilah keagungan dan keperkasaan-Nya.

[29] Pujilah nama TUHAN yang mulia; bawalah persembahan dan masuklah ke dalam kediaman-Nya. Bersujudlah di hadapan TUHAN apabila Dia muncul;

[30] gementarlah di hadapan-Nya, hai seluruh bumi! Bumi dikukuhkan dan tidak dapat digoncang.

[31] Bersukacitalah, hai bumi dan langit! Beritahulah bangsa-bangsa bahawa TUHAN itu Raja.

[32] Berderulah, hai laut, dan segala isimu! Bergembiralah, hai ladang-ladang, dan segala tanamanmu!

[33] Pokok-pokok di hutan akan bersorak kegirangan, apabila TUHAN datang untuk memerintah bumi.

[34] Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana Dia baik; kasih-Nya kekal abadi.

[35] Katakanlah kepada-Nya, “Ya Allah, Penyelamat kami, selamatkanlah kami daripada kekuasaan bangsa-bangsa. Kumpulkanlah kami supaya kami dapat bersyukur dan memuji nama-Mu yang suci!”

[36] Pujilah TUHAN, Allah Israel! Pujilah Dia sekarang dan selama-lamanya! Kemudian semua orang Israel berkata, “Amin”, dan mereka memuji TUHAN.

[37] Raja Daud melantik Asaf dan sesamanya orang Lewi supaya mereka bertugas secara tetap dalam pengurusan hal-hal yang berkaitan dengan ibadat di tempat Tabut Perjanjian TUHAN diletakkan. Setiap hari mereka harus bertugas di situ,

[38] dan dibantu oleh Obed-Edom anak Yedutun dan 68 orang lain daripada puaknya. Hosa dan Obed-Edom ialah pengawal pintu-pintu gerbang.

[39] Imam Zadok dan imam-imam yang lain ditugaskan untuk mengurus ibadat kepada TUHAN di tempat beribadat di Gibeon.

[40] Tiap-tiap pagi dan petang mereka harus mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah, menurut Taurat yang diberikan oleh TUHAN kepada orang Israel.

[41] Imam Zadok dan imam-imam itu dibantu oleh Heman dan Yedutun serta beberapa orang lain yang dipilih khas untuk menyanyikan lagu pujian kepada TUHAN kerana kasih-Nya yang kekal abadi.

[42] Heman dan Yedutun juga mengurus trompet, simbal, serta alat muzik lain yang dipakai untuk mengiringi lagu-lagu pujian. Anggota-anggota puak Yedutun ditugaskan untuk mengawal pintu-pintu gerbang.

[43] Kemudian semua orang pulang ke rumah masing-masing. Raja Daud juga pulang untuk bersama-sama keluarga baginda.

1 Tawarikh — Chapters