[1] Raja Hiram dari Tirus mengutus duta-dutanya kepada Raja Daud, dan mengirim juga kayu sedar, tukang kayu, serta tukang batu untuk membina istana.
[2] Oleh itu Raja Daud sedar bahawa TUHAN telah mengukuhkan kedudukan baginda sebagai raja Israel dan menguatkan kerajaan baginda untuk kepentingan umat TUHAN.
[3] Di Yerusalem, Raja Daud mengambil beberapa orang isteri lagi, lalu mendapat lebih banyak putera dan puteri.
[4] Inilah putera-puteranya yang dilahirkan di Yerusalem: Syamua, Sobab, Natan, Salomo,
[5] Yibhar, Elisua, Elpelet,
[6] Nogah, Nefeg, Yafia,
[7] Elisama, Beelyada, dan Elifelet.
[8] Apabila orang Filistin mendengar bahawa Raja Daud telah menjadi raja seluruh Israel, mereka datang untuk menangkap baginda. Oleh itu Raja Daud pergi berperang melawan mereka.
[9] Orang Filistin tiba di Lembah Refaim dan mula merompak.
[10] Mendengar hal itu, Raja Daud bertanya kepada Allah, “Haruskah aku menyerang orang Filistin? Adakah Engkau memberi aku kemenangan?” TUHAN menjawab, “Seranglah! Aku akan memberi engkau kemenangan!”
[11] Oleh itu Raja Daud menyerang orang Filistin di Baal-Perasim dan mengalahkan mereka. Raja Daud bertitah, “Umpama banjir besar, Allah telah menembusi pertahanan musuh dengan perantaraan beta.” Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Baal-Perasim.
[12] Apabila tentera Filistin lari, mereka meninggalkan patung-patung berhala mereka. Raja Daud memberikan perintah untuk membakar patung-patung itu.
[13] Tidak lama kemudian, orang Filistin kembali semula ke Lembah Refaim dan merompak lagi.
[14] Sekali lagi Raja Daud meminta petunjuk daripada Allah, dan Allah menjawab, “Jangan serang mereka dari sini, tetapi berjalanlah berkeliling dan seranglah mereka dari seberang, dekat pokok-pokok kertau.
[15] Apabila engkau mendengar bunyi derap di atas pokok-pokok itu, lancarkanlah serangan, kerana Aku akan berjalan mendahului kamu untuk mengalahkan tentera Filistin.”
[16] Raja Daud menurut perintah Allah kepadanya. Raja Daud dan pasukannya memukul mundur orang Filistin, bermula dari Gibeon sampai ke Gezer.
[17] Oleh itu nama Raja Daud termasyhur ke merata tempat, dan TUHAN menyebabkan semua bangsa takut kepada Raja Daud.